Ahad, 4 November 2012

Telaah Buku Siri 1: Tasik Syahdu & Cerpen-Cerpen Lain – A. Samad Said

Sumber: Lazada.com


Pada kali ini saya ingin membicarakan secara ringkas mengenai sebuah buku koleksi cerpen karya Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said. Ruangan ini saya namakan Telaah Buku. 

Sekali pandang tajuk ruangan ini seakan-akan ingin memberikan komentar terhadap buku ini secara mendalam. Namun tiadalah saya ahli untuk mengadili atau mengkritik buku ini atau buku-buku yang akan datang melainkan sekadar perkongsian penulis terhadap buku tersebut secara peribadi berserta huraian ringkas terhadapnya. Orang kata umur baharu setahun jagung manakan sanggup untuk menkritik para penulis berserta karya mereka yang hebat itu.

Secara ringkasnya antologi Tasik Syahdu ini terdiri daripada beberapa buah cerpen karangan Pak Samad sepanjang perjalanan seni beliau. Tercatat pada naskhah buku itu bahawasanya Pak Samad sendiri yang memilih cerpen itu yang disusun bermula dengan cerpen-cerpen matang beliau. 

Pada setiap penghujung cerpen tersebut akan dicatat perihal percik ilham beliau tatkala menulis cerpen terbabit. Kesemuanya terhimpun sebanyak 22 gugusan cerpen karya Pak Samad yang dimulai dengan cerpen Tasik Syahdu dan diakhiri dengan cerpen Sasterawan Daiman Kereko.

Jikalau ingin mendapatkan huraian tentang nilai kesusasteraan cerpen-cerpen yang terkandung dalam koleksi ini rasanya di sini bukan medannya. Pada hemat saya cukup banyak komentar bagi setiap cerpen tersebut yang telah pun diolah oleh mereka yang pakar.    

Saya rasa cukup untuk dikongsi mengenai tema dan latar cerita cerpen Pak Samad yang kebanyakannya berkisar pada kehidupan pada zaman perang dalam tahun lebih kurang 40-an hingga 50-an. Hal ini dapat dilihat dengan jelas pada cerpen Tasik Syahdu yang mengisahkan tentang dosa dan dendam zaman penjajahan. 

Begitu juga pada cerpen Di Sisi Rinda yang membawa kisah ajaib atau luar biasa yang berlaku semasa darurat pada zaman perang. Di samping itu, Dosa Pejuang turut memotret kisah pengalaman lampau seorang pejuang pada zaman perang yang turut terselit rahsia dosa mereka. Ketiga-tiga cerpen ini boleh ditanggapi sebagai cerpen-cerpen matang dan terbaik karya Pak Samad. 

Pak Samad - Sumber: Laman Teachernuha

Walau bagaimanapun, cerpen-cerpen Pak Samad tidak hanya bersangkut paut dengan tema peperangan dan deritanya. Terdapat juga persoalan mengenai suka duka kehidupan rakyat marhaen yang banyak digambarkan tinggal di Singapura. Kebanyakan mereka itu hidup dalam kemiskinan. Lalu terperciklah ilham buat Pak Samad merakamkan kisah hidup itu dalam cerpen beliau. Antaranya kita dapat lihat cerpen ‘Ke Daerah yang Lebih Kerdil’, Longkang, dan Perempuan dari Kampung Kambing.

Selain itu, Pak Samad turut memperjuangkan nasib hidup para buruh atau pekerja bawahan yang menjadi inti perjuangan ASAS 50 pada masa itu. Rata-rata mereka semua berpendapatan amat rendah. Cukup untuk kita lihat buruh kasar pada hari ini yang berpendapatan rendah pada zaman ekonomi negara yang semakin baik ini. Apatah lagi pada zaman awal kemerdekaan, ekonomi negara masih belum kukuh lagi. 

Kadang-kadang pihak majikan mengambil kesempatan pula terhadap buruh-buruh ini. Persoalan yang seperti ini jelas dapat ditatap pada naskhah cerpen Di Tepi Jalan. Akhirnya, cerpen beliau ini menjadi cerpen awal beliau yang diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia.

Di samping itu, cerpen-cerpen Pak Samad turut memuat kisah petugas-petugas di Hospital. Tema sebegini tercetus daripada pengalaman beliau yang pernah bekerja di hospital pada satu masa dahulu. Sebagai contoh cerpen ‘Menanti’  dan ‘Pulang Malam’. 

Beliau juga mencoretkan kisah hidup perempuan yang kesempitan hidup pada zaman awal kemerdekaan dahulu yang disebabkan itu terdesak sehingga sanggup menjual diri dengan hidup menjadi pelacur dan pelayan di kelab-kelab malam. Hal sebegini jelas terpampang dalam cerpen beliau yang berjudul ‘Kakak’.

Secara tuntasnya buku koleksi cerpen Tasik Syahdu ini memuatkan gugusan cerpen yang begitu unik dan menarik dari sudut tema-tema yang diketengahkan juga teknik-teknik penyampaiannya itu. Secara tidak langsung keseluruhan cerpen dalam buku ini menggambarkan liku-liku perjalanan seni Pak Samad secara tidak langsung terutamanya dalam penulisan cerpen. Bak kata Pak Samad, beliau tidak perlu mengusahakan sebuah buku autobiografi tentang hidupnya kerana cukup hanya dengan cerpen-cerpen beliau itu menceritakan segala-galanya.

Akhir kalamnya, apa tunggu lagi ayuh pergi dapatkan buku ini terbitan PTS Sdn Bhd di gedung-gedung buku yang berdekatan. 



---T.T.---
4/11/12 @ 1.33 a.m.

Tarikh Darul Naim Siri 2 - Jom kenali Kelantan.

Sumber: www.muzium.kelantan.gov.my

Hari ini perkongsian Tarikh Darul Naim Siri 2 - Bersempena dengan Perayaan Ulang Tahun ke-100Majlis Agama Islam Kelantan, MAIK. Rasanya lebih baik kita teruskan siri Tarikh Darul Naim ini dengan meninjau sejarah bangunan pejabat MAIK. Jom kenali Kelantan.


Dahulunya sebelum berpindah ke pejabat sekarang iaitu di Kompleks Islam Darulnaim di Lundang, Kota Bharu, bangunan pejabat MAIK terletak di Jalan Sultan di tengah bandar lama Kota Bharu. Bangunan ini terletak berhampiran dengan Masjid Muhammadi dan di pinggiran Sungai Kelantan.

Pada asalnya bangunan ini merupakan rumah kediaman dua tingkat milik Dato' Menteri Kelantan (setaraf Menteri Besar), Che Hassan bin Mohd Salleh. Beliau adalah seorang pegawai tinggi Melayu semasa negeri Kelantan di bawah naungan Siam.

Bangunan ini siap di bina pada tahun 1902. Bangunan ini memiliki reka bentuk yang unik iaitu sebuah rumah kayu model Rumah Perabung Pecah Lima. Reka bentuk ini adalah satu reka bentuk rumah Melayu Kelantan-Patani yang popular pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Rumah kediaman beserta kawasannya ini telah dibeli oleh MAIK pada 31 Julai 1917 dengan harga $15,000.00 dengan wang kutipan zakat fitrah yang mula dikumpulkan pada bulan Januari 1916. Pada tanggal 9 Ogos tahun yang sama MAIK mula mendiami bangunan tersebut sebagai pejabatnya.

MAIK kekal berpejabat di sini selama 72 tahun sebelum berpindah ke Lundang pada 16 Februari 1990. Pejabatnya itu berada di tingkat atas bangunan ini.

Manakala di tingkat bawah bangunan ini digunakan sebagai tempat belajar bagi murid-murid Madrasah Muhammadiyah Melayu (lelaki). Sekolah ini ditubuhkan pada 5 Ogos 1917.

Pada bulan Februari 1932 tingkat bawah bangunan ini bertambah padat dengan wujudnya Madrasah Muhammadiyah Melayu (perempuan) pula. Akhirnya kedua-dua Madrasah ini berpindah ke bangunan barunya di Jalan Merbau, Kota Bharu pada tahun 1956.

Menurut rekod bangunan ini telah diubah suai sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1917, 1962, dan 1991. Pengubahsuaian terbesar yang pernah dilaksanakan ialah pada tahun 1991. Pengubahsuaian ini telah menelan belanja sebanyak RM218, 000.00. 

Secara kasarnya bangunan ini masih lagi mengekalkan reka bentuk luaran yang asal melainkan reka bentuk dalamannya yang telah pun berubah ciri-cirinya yang asal itu.

Sumber: The Kelantan Times

Sekian dahulu untuk kali ini.


-----T.T.-----




p/s:  Sebarang khilaf pada sesiapa yang menemukannya pohon dibetulkan.

Asalnya tulisan ini dijadikan status FB Tokdin Tuman. Selamat berkunjung ke Ekspo MAIK 2012 di laman Istana Negeri Kubang Kerian. 

Rujukan: Abdul Razak Mahmud, 2005. Ikhtisar Sejarah Kelantan.

Tarikh Darul Naim Siri 1- Jom kenali Kelantan.

Ihsan: Laman web Malaysia My Second Home



Mukadimah 

Assalamualaikum sebagai pembuka bicara. Pada kali ini setelah lama bersunyi sepi tidak menulis di laman blog ini, saya kembali dengan membuka satu siri penulisan ringkas mengenai sejarah negeri Kelantan. Sebelum bermulanya penerangan yang lebih lanjut adalah molek sekiranya diberikan dahulu mukadimah atau pembuka bicara bagi negeri Kelantan ini. Keterangannya ditulis seberapa ringkas dan padat adalah seperti berikut:

Ihsan: Laman DM Serunding
  1. Kelantan terdiri daripada 10 buah jajahan. Berlainan dengan negeri-negeri lain yang memakai panggilan    'daerah'. 
  2. Negeri Kelantan ini bergelar Darul Naim ertinya Negeri Penuh Nikmat. Tersebut dalam tarikh, gelaran ini dicadangkan oleh Mufti Kerajaan Negeri, Sahibus Samahah Haji Wan Muhammad bin Abdul Samad pada tahun 1916. Lalu diperkenankan oleh Baginda Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-IV.
  3. Terdapat pula keterangan yang mengatakan sebelum digelar Darul Naim, Kelantan ini digelar Darul Aman persis gelaran negeri Kedah sebagaimana kini.
  4. Di dalamnya terdapat 63 buah daerah (daerah di sini persis mukim di negeri lain). 
  5. Setiap jajahan itu pula diketuai oleh seorang Ketua Jajahan (Ketua/pegawai daerah). Dalam tiap-tiap jajahan mempunyai daerah-daerah. 
  6. Jajahan itu ialah Kota Bharu, Pasir Puteh, Pasir Mas, Bachok, Machang, Tumpat, Tanah Merah, Kuala Krai, Jeli, dan Gua Musang. Seluas-luas jajahan ialah Gua Musang dan sekecil-kecilnya ialah jajahan Tumpat.
  7. Setiap daerah (persis mukim) ini diketuai oleh Penggawa. Kalau di tempat lain dipanggil Penghulu. Dahulunya Penggawa ini dikenali dengan nama Tok Kweng.

 --------T.T.-------



p/s: Tulisan ini sebenarnya ditulis sebagai status FB Tokdin Tuman lalu dikutip dan disiar kembali di laman saya. Sebarang khilaf pada sesiapa yang menemukannya pohon dibetulkan.

Rujukan: Abdul Razak Mahmud, 2005. Ikhtisar Sejarah Kelantan.