Khamis, 6 Februari 2014

ANEKDOT: 3297 & AKU


No. Giliran
Foto: Hairul.com
Rasanya pada kali ini saya nak coretkan sikit satu anekdot dalam hidup yang kita sebenarnya biasa lalui dan hadapi (agaknya orang lain pun pernah alami/tahu sesiapa yang pernah alami). Apakah signifikannya tajuk 3297 ini dan saya? Bagi yang tengah berfikir agaknya nombor itu ada kaitan dengan mana-mana tuah atau satu petanda apa-apa baik padam sajalah buah fikiran itu. Sah-sah karut-marut tidak boleh dipakai. Bahkan lagi jauh melencong telahan jika empat digit nombor itu ialah satu nombor ekor 4D. Tak ada maknanya saya nak beli nombor ekor. Judi itukan satu dosa besar. Daripada main nombor ekor lebih baik nombor dalam kira-kira matematik ada juga faedahnya. Walaupun saya dan
matematik ini bukanlah ngam mana pun. 

Cukup-cukuplah itu merapu ke laut. Sebenarnya saya cerita kisah biasa-biasa tentang pembaharuan kad pengenalan (IC) saya. Sudah lama saya bertangguh nak pergi tukar IC dengan ambil gambar baru. Seperti yang semua tahu rakyat Malaysia yang sudah masuk umur 12 tahun kena buat IC ini. IC yang saya pakai sekarang ini masih lagi IC yang sama yang saya buat masa umur 12 tahun dahulu. Kalau umur 12 tahun bermakna masa saya darjah enam la jawabnya. Sekarang ini pula dan nak masuk 24 tahun. Bayangkanlah berapa beza rupa gambar IC saya pada kad yang mula-mula saya buat itu dengan rupa sekarang. Dari dulu masa saya masih lagi comel (comel la sangat), jambu bak kata orang sekarang ini (sindrom perasan diri) dan ‘innocent’ atau ‘skema’ hinggalah sekarang muka dah matang siap berjanggut bermisai. Kononnya muka matanglah tu padahal muka Nampak lebih tua daripada usia. Pedulikanlah yang penting dah lama benar jarak masa kad IC itu.

Logo JPN (lama)
Logo Baru JPN
Foto: FACEBOOK JPN 

Nasib baik saya pergi tukar agak awal sikit yakni pada umur sekarang yang dah 24 tahun. Ikut cakap pegawai pendaftaran itu kalau saya datang masa umur 25 jawabnya kenalah bayar denda RM40 sebab lewat tukar. Tengok sipi-sipi lagi (nyaris-nyaris) nak kena denda. Kang tak pasal-pasal sedekah duit lebih pada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Okay, yang nombor 3297 itu sebenarnya nombor giliran di pejabat JPN itu. Masa ambil nombor giliran itu nombor yang tengah dipanggil baru setakat 3220. Kiralah sendiri berapa ramai lagi berderet tunggu giliran di depan saya. Nasib baiklah sistem sekarang ini dah agak canggih. Cepat saja nombor nak kena panggil. Ambil nombor pada pukul 10.44 lepas tu siap ambil gambar IC itu dalam pukul 12 tengah hari. Kira okaylah tu kalau nak dibandingkan daripada dahulu.

Sekarang ini kalau buat di pejabat utama JPN boleh siap segera. Boleh katakan ‘on-the-spot’ siap. Dengan syarat tiada pertukaran alamat atau masalah teknikal kad lama. Macam di KB ini lepas dah siap ambil gambar itu semua kena tunggu sejam lepas tu bolehlah nak ambil nombor giliran untuk ambil IC baru itu. Masalahnya saya punya IC itu ada masalah sikit jadi tak dapat siap awal. Alkisahnya gara-gara mesin pengimbas jari elektronik itu tak dapat kesan cap ibu jari tangan kiri saya. Cuba punya cuba cap itu dapat tapi tak sepadan pula dengan yang ada dalam IC lama. Siap disapu losen lagi kedua-dua jari itu tapi yang jari kiri tetap juga tak dapat. Bukan sekali rasanya dah tiga kali sapu pun tak dapat. Kesudahannya kenalah tunggu tiga minggu sebelum dapat ambil kad IC yang baru. Fikir-fikir, bagi sayalah bagus sungguh pegawai/kerani yang urus saya itu. Bukan main lagi dia berusaha nak tolong biar menjadi imbas jari itu. Orang kata memang dah kerja dia. Iya betul tapi layanan dia itu ada profesionalnya dan mesra pelanggan bukan semua orang bekerja macam itu.

 
Wisma Persekutuan Kota Bharu, Kelantan.
Foto: Building Lindungan 

Sebenarnya ada cerita belakang tabir dengan nombor 3297 ini. Sebab itu saya jadikan satu tajuk tulisan ini. Masa pergi buat IC hari itu saya pergi dengan ummi saya. Ummi saya bagi nombor 3296 manakala saya ambil yang terkemudianlah. ‘Gentleman’  laa katakan. Hihihi. Okaylah, dah dapat nombor itu tunggu sajalah dengan ‘steady’-nya. Sambil berdirilah dengan macam-macam gaya tersendiri kononnya nak macho (sekali lagi perasan). Maklumlah orang ramai pada hari Khamis itu sebab sekolah semua dah cuti sempena Tahun Baru Cina. Pejabat JPN di KB itu bangunannya dah lama yakni di Wisma Persekutuan. Oleh sebab itulah ruang pejabatnya pun agak sempit jikalau nak dibandingkan dengan jumlah pelanggan yang berurusan di sana. Jadinya ruang pejabat yang terbahagi dua bahagian itu – satunya khas untuk bahagian buat pasport dan visa serta daftar kelahiran/kematian dan satu laginya ruang khas untuk daftar IC / MyKid dan yang seangkatan dengannya – akhirnya bertukar menjadi tin sardin/tuna/ikan mackarel versi manusia.

Yang jadi isu dengan nombor 3297 saya itu ialah pada saat nombor saya dipanggil. Punyalah syukur penuh lega hati ini sebab dah dapat giliran. Terus saja kaki ini melangkah pantas ke kaunter bernombor 9. Tup-tup-tup tengok di kaunter itu masih ada seorang lagi pelanggan yang duduk berurusan di sana. Ingatkan dah nak dapat layanan rupanya masih ada lagi yang tak siap berurusan di kaunter. Dalam hati ingatkan pegawai itu saja panggil awal nombor saya supaya tak kalut agaknya. Lepas saja siap orang yang di depan saya itu. Perempuan orangnya. Saya pun pergilah. Mula-mula pegawai bertugas itu tanya saya awak nombor berapa. Saya pun beritahulah nombor 3297. Lepas itu dia minta tunjukkan kertas nombor giliran itu. Rupa-rupanya pelanggan sebelum saya tadi itu mengaku yang dia bernombor 3297. Adess, potong q la nampaknya kakak itu. Pegawai itu cakap patutlah dia rasa pelik pun tadi sebab lepas panggil ada dua orang datang.  Sangka baik sajalah dengan kakak itu agaknya dia hilang nombor giliran lepas itu tak ingat nombor sendiri atau tak biasa berurusan lagi. Tak pun memang dia ada kecemasan sampai kena pergi dulu. Patutnya saya pergi kaunter itu tunjuk saja terus kertas nombor giliran saya itu supaya pegawai itu tahu. Fikir-fikir balik masalahnya takut pula memang dia saja panggil nombor awal sikit supaya tak perlu tunggu lama-lama untuk orang datang ke kaunter.

Bersabarlah Tunggu Giliran Kita
Foto: Nightcactus.net

Sebut tentang orang potong giliran saya ini sebenarnya dah tak pelik sangat bagi saya. Bukan apa sebelum ini saya dah terkena dengan peristiwa yang sama di sebuah bank. Pada masa itu, lepas saja nombor saya dipanggil tengok-tengok di kaunter dah ada orang lain. Setelah orang itu siap, saya pun pergilah cakap macam biasa dengan pegawai/kerani bank itu. Malangnya dia siap tanya dengan nada macam nak marah-marah (taklah tinggi mana pun cuma reaksi dia agak sinis) nombor saya berapa. Saya pun beritahu dia nombor saya yang dipanggil tadi. Dengan nada tak percaya dia tanya saya mana kertas nombor giliran itu. Serius dia ingat saya menipulah ini. Hisssh tak pasal-pasal kena syak dengan orang. Masa itu naik darah pun adalah sikit tapi tak sampai kena ‘hypertension’lah. Nasib baik tak lebih-lebih cuma terkeluar ‘speaking’ English tanya dia “what!!! you don’t believe me??” (poyo kalau nak marah je mesti nak cakap Mageris- bukannya pandai pun kihkihkih). Soalan biasa saja cuma nadanya agak menyindir sikit. Lepas dah cakap itu rasa bersalah pun ada. Itulah orang kata terlajak perahu boleh diundur terlajak kata ini makannya. Hahaha.

Foto: Danielle, Joyful Steps
Sepatutnya dia janganlah tanya dengan nada macam nak marah-marah sangat pada pelanggan. Kurang profesionallah macam itu. Lagi pun bukannya saya yang potong giliran itu. Kang dah segan salah tuduh orang. Pegawai/kerani yang layan saya itu pun masih muda lagi entah-entah budak praktikal agaknya. Kita fahamlah masih belum berpengalaman. Saya doakan agar dia cepat belajar jadi pro. Walau bagaimanapun, nasib baiklah pegawai/kerani yang urus saya di JPN hari itu okay tak adalah nak tanya macam nak marah-marah. Itulah saja kisah yang saya nak kongsikan dengan nombor 3297 ini. Hanya kisah biasa daripada orang biasa-biasa buat diri sendiri sebenarnya.

Sebagai kesimpulannya daripada cerita panjang berjela ini, janganlah kita tak sabar-sabar dalam menunggu giliran. Bagi yang berurusan itu tak kira pegawai bertugas dan juga pelanggan janganlah emosional. Bersikap sopan dan profesionallah. Kalau tengah marah itu jangan dilayan sangat perasaan itu. Bersabarlah dan ingat orang yang tersayang (hahaha tiba-tiba slogan pandu selamat). Ingat kalau kita buat baik pada orang dan hormat orang nanti In sya Allah orang akan bagi layanan yang sama pada kita. Kalau tak pun sudah tentu dapat ganjaran daripada Allah. Lepas itu kalau ada orang berkasar dengan kita janganlah marah-marah balik padanya seperti yang saya terlepas cakap itu. Walaupun taklah bahasa kasar atau maki-maki cuma nada saya tanya itu agak sinis kalau didengar.  Lain kali saya kena jawab dengan sopan sajalah. Orang bagi tuba kita bagilah penawarnya. Balik-balik kalau orang itu ada maruah diri mesti dia terkesan dengan apa yang dia buat salah itu. Kalau dia tak faham lantak sajalah. Kita doakan biar dia sedar diri. Kita pun kenalah sedar diri dulu.
Sekian dulu celoteh biasa daripada orang biasa-biasa.
---T.T---

__________________ 
N/K: Siap dicatat: 1.47 a.m 01/02/14 bersamaan 1 Rabi’ul Akhir iaitu pada malam Sabtu di Kg. Palas Merah, Tumpat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan