Ahad, 4 November 2012

Telaah Buku Siri 1: Tasik Syahdu & Cerpen-Cerpen Lain – A. Samad Said

Sumber: Lazada.com


Pada kali ini saya ingin membicarakan secara ringkas mengenai sebuah buku koleksi cerpen karya Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said. Ruangan ini saya namakan Telaah Buku. 

Sekali pandang tajuk ruangan ini seakan-akan ingin memberikan komentar terhadap buku ini secara mendalam. Namun tiadalah saya ahli untuk mengadili atau mengkritik buku ini atau buku-buku yang akan datang melainkan sekadar perkongsian penulis terhadap buku tersebut secara peribadi berserta huraian ringkas terhadapnya. Orang kata umur baharu setahun jagung manakan sanggup untuk menkritik para penulis berserta karya mereka yang hebat itu.

Secara ringkasnya antologi Tasik Syahdu ini terdiri daripada beberapa buah cerpen karangan Pak Samad sepanjang perjalanan seni beliau. Tercatat pada naskhah buku itu bahawasanya Pak Samad sendiri yang memilih cerpen itu yang disusun bermula dengan cerpen-cerpen matang beliau. 

Pada setiap penghujung cerpen tersebut akan dicatat perihal percik ilham beliau tatkala menulis cerpen terbabit. Kesemuanya terhimpun sebanyak 22 gugusan cerpen karya Pak Samad yang dimulai dengan cerpen Tasik Syahdu dan diakhiri dengan cerpen Sasterawan Daiman Kereko.

Jikalau ingin mendapatkan huraian tentang nilai kesusasteraan cerpen-cerpen yang terkandung dalam koleksi ini rasanya di sini bukan medannya. Pada hemat saya cukup banyak komentar bagi setiap cerpen tersebut yang telah pun diolah oleh mereka yang pakar.    

Saya rasa cukup untuk dikongsi mengenai tema dan latar cerita cerpen Pak Samad yang kebanyakannya berkisar pada kehidupan pada zaman perang dalam tahun lebih kurang 40-an hingga 50-an. Hal ini dapat dilihat dengan jelas pada cerpen Tasik Syahdu yang mengisahkan tentang dosa dan dendam zaman penjajahan. 

Begitu juga pada cerpen Di Sisi Rinda yang membawa kisah ajaib atau luar biasa yang berlaku semasa darurat pada zaman perang. Di samping itu, Dosa Pejuang turut memotret kisah pengalaman lampau seorang pejuang pada zaman perang yang turut terselit rahsia dosa mereka. Ketiga-tiga cerpen ini boleh ditanggapi sebagai cerpen-cerpen matang dan terbaik karya Pak Samad. 

Pak Samad - Sumber: Laman Teachernuha

Walau bagaimanapun, cerpen-cerpen Pak Samad tidak hanya bersangkut paut dengan tema peperangan dan deritanya. Terdapat juga persoalan mengenai suka duka kehidupan rakyat marhaen yang banyak digambarkan tinggal di Singapura. Kebanyakan mereka itu hidup dalam kemiskinan. Lalu terperciklah ilham buat Pak Samad merakamkan kisah hidup itu dalam cerpen beliau. Antaranya kita dapat lihat cerpen ‘Ke Daerah yang Lebih Kerdil’, Longkang, dan Perempuan dari Kampung Kambing.

Selain itu, Pak Samad turut memperjuangkan nasib hidup para buruh atau pekerja bawahan yang menjadi inti perjuangan ASAS 50 pada masa itu. Rata-rata mereka semua berpendapatan amat rendah. Cukup untuk kita lihat buruh kasar pada hari ini yang berpendapatan rendah pada zaman ekonomi negara yang semakin baik ini. Apatah lagi pada zaman awal kemerdekaan, ekonomi negara masih belum kukuh lagi. 

Kadang-kadang pihak majikan mengambil kesempatan pula terhadap buruh-buruh ini. Persoalan yang seperti ini jelas dapat ditatap pada naskhah cerpen Di Tepi Jalan. Akhirnya, cerpen beliau ini menjadi cerpen awal beliau yang diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia.

Di samping itu, cerpen-cerpen Pak Samad turut memuat kisah petugas-petugas di Hospital. Tema sebegini tercetus daripada pengalaman beliau yang pernah bekerja di hospital pada satu masa dahulu. Sebagai contoh cerpen ‘Menanti’  dan ‘Pulang Malam’. 

Beliau juga mencoretkan kisah hidup perempuan yang kesempitan hidup pada zaman awal kemerdekaan dahulu yang disebabkan itu terdesak sehingga sanggup menjual diri dengan hidup menjadi pelacur dan pelayan di kelab-kelab malam. Hal sebegini jelas terpampang dalam cerpen beliau yang berjudul ‘Kakak’.

Secara tuntasnya buku koleksi cerpen Tasik Syahdu ini memuatkan gugusan cerpen yang begitu unik dan menarik dari sudut tema-tema yang diketengahkan juga teknik-teknik penyampaiannya itu. Secara tidak langsung keseluruhan cerpen dalam buku ini menggambarkan liku-liku perjalanan seni Pak Samad secara tidak langsung terutamanya dalam penulisan cerpen. Bak kata Pak Samad, beliau tidak perlu mengusahakan sebuah buku autobiografi tentang hidupnya kerana cukup hanya dengan cerpen-cerpen beliau itu menceritakan segala-galanya.

Akhir kalamnya, apa tunggu lagi ayuh pergi dapatkan buku ini terbitan PTS Sdn Bhd di gedung-gedung buku yang berdekatan. 



---T.T.---
4/11/12 @ 1.33 a.m.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan