Ahad, 4 November 2012

Telaah Buku Siri 1: Tasik Syahdu & Cerpen-Cerpen Lain – A. Samad Said

Sumber: Lazada.com


Pada kali ini saya ingin membicarakan secara ringkas mengenai sebuah buku koleksi cerpen karya Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said. Ruangan ini saya namakan Telaah Buku. 

Sekali pandang tajuk ruangan ini seakan-akan ingin memberikan komentar terhadap buku ini secara mendalam. Namun tiadalah saya ahli untuk mengadili atau mengkritik buku ini atau buku-buku yang akan datang melainkan sekadar perkongsian penulis terhadap buku tersebut secara peribadi berserta huraian ringkas terhadapnya. Orang kata umur baharu setahun jagung manakan sanggup untuk menkritik para penulis berserta karya mereka yang hebat itu.

Secara ringkasnya antologi Tasik Syahdu ini terdiri daripada beberapa buah cerpen karangan Pak Samad sepanjang perjalanan seni beliau. Tercatat pada naskhah buku itu bahawasanya Pak Samad sendiri yang memilih cerpen itu yang disusun bermula dengan cerpen-cerpen matang beliau. 

Pada setiap penghujung cerpen tersebut akan dicatat perihal percik ilham beliau tatkala menulis cerpen terbabit. Kesemuanya terhimpun sebanyak 22 gugusan cerpen karya Pak Samad yang dimulai dengan cerpen Tasik Syahdu dan diakhiri dengan cerpen Sasterawan Daiman Kereko.

Jikalau ingin mendapatkan huraian tentang nilai kesusasteraan cerpen-cerpen yang terkandung dalam koleksi ini rasanya di sini bukan medannya. Pada hemat saya cukup banyak komentar bagi setiap cerpen tersebut yang telah pun diolah oleh mereka yang pakar.    

Saya rasa cukup untuk dikongsi mengenai tema dan latar cerita cerpen Pak Samad yang kebanyakannya berkisar pada kehidupan pada zaman perang dalam tahun lebih kurang 40-an hingga 50-an. Hal ini dapat dilihat dengan jelas pada cerpen Tasik Syahdu yang mengisahkan tentang dosa dan dendam zaman penjajahan. 

Begitu juga pada cerpen Di Sisi Rinda yang membawa kisah ajaib atau luar biasa yang berlaku semasa darurat pada zaman perang. Di samping itu, Dosa Pejuang turut memotret kisah pengalaman lampau seorang pejuang pada zaman perang yang turut terselit rahsia dosa mereka. Ketiga-tiga cerpen ini boleh ditanggapi sebagai cerpen-cerpen matang dan terbaik karya Pak Samad. 

Pak Samad - Sumber: Laman Teachernuha

Walau bagaimanapun, cerpen-cerpen Pak Samad tidak hanya bersangkut paut dengan tema peperangan dan deritanya. Terdapat juga persoalan mengenai suka duka kehidupan rakyat marhaen yang banyak digambarkan tinggal di Singapura. Kebanyakan mereka itu hidup dalam kemiskinan. Lalu terperciklah ilham buat Pak Samad merakamkan kisah hidup itu dalam cerpen beliau. Antaranya kita dapat lihat cerpen ‘Ke Daerah yang Lebih Kerdil’, Longkang, dan Perempuan dari Kampung Kambing.

Selain itu, Pak Samad turut memperjuangkan nasib hidup para buruh atau pekerja bawahan yang menjadi inti perjuangan ASAS 50 pada masa itu. Rata-rata mereka semua berpendapatan amat rendah. Cukup untuk kita lihat buruh kasar pada hari ini yang berpendapatan rendah pada zaman ekonomi negara yang semakin baik ini. Apatah lagi pada zaman awal kemerdekaan, ekonomi negara masih belum kukuh lagi. 

Kadang-kadang pihak majikan mengambil kesempatan pula terhadap buruh-buruh ini. Persoalan yang seperti ini jelas dapat ditatap pada naskhah cerpen Di Tepi Jalan. Akhirnya, cerpen beliau ini menjadi cerpen awal beliau yang diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia.

Di samping itu, cerpen-cerpen Pak Samad turut memuat kisah petugas-petugas di Hospital. Tema sebegini tercetus daripada pengalaman beliau yang pernah bekerja di hospital pada satu masa dahulu. Sebagai contoh cerpen ‘Menanti’  dan ‘Pulang Malam’. 

Beliau juga mencoretkan kisah hidup perempuan yang kesempitan hidup pada zaman awal kemerdekaan dahulu yang disebabkan itu terdesak sehingga sanggup menjual diri dengan hidup menjadi pelacur dan pelayan di kelab-kelab malam. Hal sebegini jelas terpampang dalam cerpen beliau yang berjudul ‘Kakak’.

Secara tuntasnya buku koleksi cerpen Tasik Syahdu ini memuatkan gugusan cerpen yang begitu unik dan menarik dari sudut tema-tema yang diketengahkan juga teknik-teknik penyampaiannya itu. Secara tidak langsung keseluruhan cerpen dalam buku ini menggambarkan liku-liku perjalanan seni Pak Samad secara tidak langsung terutamanya dalam penulisan cerpen. Bak kata Pak Samad, beliau tidak perlu mengusahakan sebuah buku autobiografi tentang hidupnya kerana cukup hanya dengan cerpen-cerpen beliau itu menceritakan segala-galanya.

Akhir kalamnya, apa tunggu lagi ayuh pergi dapatkan buku ini terbitan PTS Sdn Bhd di gedung-gedung buku yang berdekatan. 



---T.T.---
4/11/12 @ 1.33 a.m.

Tarikh Darul Naim Siri 2 - Jom kenali Kelantan.

Sumber: www.muzium.kelantan.gov.my

Hari ini perkongsian Tarikh Darul Naim Siri 2 - Bersempena dengan Perayaan Ulang Tahun ke-100Majlis Agama Islam Kelantan, MAIK. Rasanya lebih baik kita teruskan siri Tarikh Darul Naim ini dengan meninjau sejarah bangunan pejabat MAIK. Jom kenali Kelantan.


Dahulunya sebelum berpindah ke pejabat sekarang iaitu di Kompleks Islam Darulnaim di Lundang, Kota Bharu, bangunan pejabat MAIK terletak di Jalan Sultan di tengah bandar lama Kota Bharu. Bangunan ini terletak berhampiran dengan Masjid Muhammadi dan di pinggiran Sungai Kelantan.

Pada asalnya bangunan ini merupakan rumah kediaman dua tingkat milik Dato' Menteri Kelantan (setaraf Menteri Besar), Che Hassan bin Mohd Salleh. Beliau adalah seorang pegawai tinggi Melayu semasa negeri Kelantan di bawah naungan Siam.

Bangunan ini siap di bina pada tahun 1902. Bangunan ini memiliki reka bentuk yang unik iaitu sebuah rumah kayu model Rumah Perabung Pecah Lima. Reka bentuk ini adalah satu reka bentuk rumah Melayu Kelantan-Patani yang popular pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Rumah kediaman beserta kawasannya ini telah dibeli oleh MAIK pada 31 Julai 1917 dengan harga $15,000.00 dengan wang kutipan zakat fitrah yang mula dikumpulkan pada bulan Januari 1916. Pada tanggal 9 Ogos tahun yang sama MAIK mula mendiami bangunan tersebut sebagai pejabatnya.

MAIK kekal berpejabat di sini selama 72 tahun sebelum berpindah ke Lundang pada 16 Februari 1990. Pejabatnya itu berada di tingkat atas bangunan ini.

Manakala di tingkat bawah bangunan ini digunakan sebagai tempat belajar bagi murid-murid Madrasah Muhammadiyah Melayu (lelaki). Sekolah ini ditubuhkan pada 5 Ogos 1917.

Pada bulan Februari 1932 tingkat bawah bangunan ini bertambah padat dengan wujudnya Madrasah Muhammadiyah Melayu (perempuan) pula. Akhirnya kedua-dua Madrasah ini berpindah ke bangunan barunya di Jalan Merbau, Kota Bharu pada tahun 1956.

Menurut rekod bangunan ini telah diubah suai sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1917, 1962, dan 1991. Pengubahsuaian terbesar yang pernah dilaksanakan ialah pada tahun 1991. Pengubahsuaian ini telah menelan belanja sebanyak RM218, 000.00. 

Secara kasarnya bangunan ini masih lagi mengekalkan reka bentuk luaran yang asal melainkan reka bentuk dalamannya yang telah pun berubah ciri-cirinya yang asal itu.

Sumber: The Kelantan Times

Sekian dahulu untuk kali ini.


-----T.T.-----




p/s:  Sebarang khilaf pada sesiapa yang menemukannya pohon dibetulkan.

Asalnya tulisan ini dijadikan status FB Tokdin Tuman. Selamat berkunjung ke Ekspo MAIK 2012 di laman Istana Negeri Kubang Kerian. 

Rujukan: Abdul Razak Mahmud, 2005. Ikhtisar Sejarah Kelantan.

Tarikh Darul Naim Siri 1- Jom kenali Kelantan.

Ihsan: Laman web Malaysia My Second Home



Mukadimah 

Assalamualaikum sebagai pembuka bicara. Pada kali ini setelah lama bersunyi sepi tidak menulis di laman blog ini, saya kembali dengan membuka satu siri penulisan ringkas mengenai sejarah negeri Kelantan. Sebelum bermulanya penerangan yang lebih lanjut adalah molek sekiranya diberikan dahulu mukadimah atau pembuka bicara bagi negeri Kelantan ini. Keterangannya ditulis seberapa ringkas dan padat adalah seperti berikut:

Ihsan: Laman DM Serunding
  1. Kelantan terdiri daripada 10 buah jajahan. Berlainan dengan negeri-negeri lain yang memakai panggilan    'daerah'. 
  2. Negeri Kelantan ini bergelar Darul Naim ertinya Negeri Penuh Nikmat. Tersebut dalam tarikh, gelaran ini dicadangkan oleh Mufti Kerajaan Negeri, Sahibus Samahah Haji Wan Muhammad bin Abdul Samad pada tahun 1916. Lalu diperkenankan oleh Baginda Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-IV.
  3. Terdapat pula keterangan yang mengatakan sebelum digelar Darul Naim, Kelantan ini digelar Darul Aman persis gelaran negeri Kedah sebagaimana kini.
  4. Di dalamnya terdapat 63 buah daerah (daerah di sini persis mukim di negeri lain). 
  5. Setiap jajahan itu pula diketuai oleh seorang Ketua Jajahan (Ketua/pegawai daerah). Dalam tiap-tiap jajahan mempunyai daerah-daerah. 
  6. Jajahan itu ialah Kota Bharu, Pasir Puteh, Pasir Mas, Bachok, Machang, Tumpat, Tanah Merah, Kuala Krai, Jeli, dan Gua Musang. Seluas-luas jajahan ialah Gua Musang dan sekecil-kecilnya ialah jajahan Tumpat.
  7. Setiap daerah (persis mukim) ini diketuai oleh Penggawa. Kalau di tempat lain dipanggil Penghulu. Dahulunya Penggawa ini dikenali dengan nama Tok Kweng.

 --------T.T.-------



p/s: Tulisan ini sebenarnya ditulis sebagai status FB Tokdin Tuman lalu dikutip dan disiar kembali di laman saya. Sebarang khilaf pada sesiapa yang menemukannya pohon dibetulkan.

Rujukan: Abdul Razak Mahmud, 2005. Ikhtisar Sejarah Kelantan.

Khamis, 2 Ogos 2012

Tuah Kinokuniya – Akhirnya Ketemu Pak Samad…



A. Samad Said
Foto: Inidill
Pada kali ini saya saja nak imbau balik kenangan indah bagi empunya diri ini sebab dapat bersua muka dengan sasterawan yang tidak asing lagi di Malaysia iaitu Sasterawan Negara A. Samad Said. Beliau lebih mesra dikenali dengan panggilan Pak Samad. Tak perlulah hendak dinukilkan hasil karya beliau yang banyak itu. Beliau seorang penulis yang prolifik. Bahkan juga penulis yang versatil yang boleh berkarya dalam pelbagai jenis genre tulisan seperti prosa - novel, cerpen dan puisi yang lain. Pak Samad juga mahir dalam bidang lukisan juga walaupun tidak sehebat dunia penulisan beliau. Karya beliau yang dinilaikan sebagai karya agung  atau 'masterpiece' oleh para pengkritik dan pengkaji sastera ialah novel Salina. Pak Samad susuk tubuhnya agak kurus, berambut dan berjambang panjang serta lebat memutih seakan salji. Tingginya biasa-biasa seperti rakyat Malaysia yang lain. Kalau dibandingkan dengan saya yang rendah ini beliau tinggilah sedikit daripada saya.

Pada masa itu saya pergi jalan-jalan tengok buku-buku di Kinokuniya, Suria KLCC. Yalah dah lama tak 'usha' buku ini rasa macam rindulah pula. Kalau tidak silap beberapa hari sebelum tibanya bulan Ramadhan 1433 H/ 2012 ini. Kebetulannya sebelum pertembungan yang tak dijangka itu saya tengah membelek-belek buku antologi puisi kanak-kanak karya Pak Samad sambil menyalin beberapa puisi yang berkenan di hati. Maklumlah kalau hendak beli tak cukup duit pula. Yalah sebab masih belajar lagi mana ada sumber pendapatan. Kalau ada pun harta mak ayah yang berikan. Paling tidak pun bagi pelajar universiti awam Malaysia ini kalau ada duit pun duit PTPTN. Itu pun hakikatnya hutang. Memang sekarang duit kita tapi duit kita dari masa depan. Kita bawa duit itu ke depan. Kalau tak pandai urus jawabnya pada masa depan nanti kitalah yang azab, sengkek tak berduit sebab hutang keliling pinggang. 

Kinokuniya KLCC
Foto: Zamani Abe

Okey, cukuplah saya melalut soal hutang. Kita sambung balik cerita Pak Samad. Lepas itu, saya pun pergilah jalan-jalan tengok buku di bahagian sejarah dan politik. Lebih kurang bahagian buku macam itulah. Saya pun bukannya hafal seksyen buku dalam Kino itu. Rambang matalah jawabnya bagi kaki buku jika duduk dalam Kino. Banyak benar buku-buku daripada pelbagai jenis genre dan bidang terutamanya buku berbahasa Inggerislah. Tengah-tengah asyik melihat buku sejarah Turki tulisan sarjana Barat sambil tengah kritik tulisan mereka (dalam hatilah) yang terlalu mengagungkan Mustafa Kemal Attartuk kononnya pembawa kemajuan di Turki saya pun terpandang tidak jauh di bahagian belakang saya itu rupa-rupanya Pak Samad. Bukan main lagi teruja bercampur terkejut. Tatkala itu rasa macam berdebar-debar nasib baik terfikir hendak minta autograf. Namun tak berani lagi nak tegur. Tahan sajalah dalam hati.

Sejurus kemudian saya terperasan ada tiga orang gadis kalau tak silap berbangsa India rasanya sedang teruja nak tanya itu Pak Samad ke bukan. Mereka saling berpandangan antara satu sama lain sambil cakap "ehh.. itu Samad Said laa." dengan muka teruja macam jumpa artis popular gayanya. Lalu saya pergilah bersama mereka tanya dia, ini A. Samad Said kan? Lepas itu mereka bertiga minta nak bergambar sambil minta tolong aku ambilkan gambar. Pada masa itu tak terfikir pula nak ambil gambar sebab telefon bateri ‘low’ dan saya pun dah siap matikan telefon bimbit itu.

Antara karya Pak Samad
Foto: PTS POP

Habis saja ambil gambar mereka itu datang pula rasa menyesal tak bergambar dengan beliau. Saya pun apa lagi terus saja buka balik telefon yang dipadam sambil minta si gadis tadi tolong ambilkan gambar. Yang malangnya lambat pula ‘loading’ telefon saya itu. Pak Samad dah jalan ke bahagian sebelah. Tup-tup.. si gadis tadi cakap biar dia tolong ambilkan gambar pakai kamera telefon dialah. Terlupa nak sebut yang saya sempat ambil autograf Pak Samad sambil berbual ringkas dengan beliau cuma terlupa pula masa bila minta autograf. Beliau tanya saya dari mana? Saya jawab asal dari Kota Bharu. Lalu Pak Samad tanya kenapa datang KL, ada kerja ke apa? Lebih kurang macam itulah soalnya. Saya pun terangkanlah yang saya ini masih belajar lagi dan bla..bla..bla.. secara ringkasnya. Entahlah pada masa itu saya agak kaget dan panik. Lidah  terkelu tak dapat nak bersembang banyak dengan beliau. Padahal lepas saja pertemuan itu menyesal kenapalah saya tak tanya beliau itu dan ini. Kalau saya tanya apa karya yang baru yang diusahakan beliau lagi baik. Tak pun tanya soal karya-karya beliau. Namun itu semua tak tercapai di akal pada masa itu.

Alhamdulillah akhirnya dapat juga saya bertemu dan bergambar dengan Pak Samad. Nasib baik ada budak perempuan bertiga itu kalau tak melepas jawabnya. Lepas bergambar itu hajatnya nak ‘bluetooth’lah gambar tadi tapi disebabkan dia pakai telefon I-Phone dan saya pula telefon biasa saja tak dapatlah nak hantar gambar. Akhirnya, saya minta dia tolong e-melkan gambar tadi. Senang cerita. Dunia sekarang ini mudah ada macam-macam kemudahan. Sekadar inilah catatan saya tentang pertemuan dengan A. Samad Said.

----T.T.----

_____________________
N/K: Tulisan lama yang dikemaskinikan pada pagi Khamis, 06/02/14. :)

Rabu, 1 Ogos 2012

Alahai Dah Masuk Pertengahan Ramadhan...Bagaimana Amalan Kita??

Sekarang ini dah nak masuk pertengahan bulan Ramadhan 1433 H/2012 M. Agak-agaknya dah berapa banyak ibadah yang kita sudah buat atau berapa banyak dosa yang terbuat? Masing-masing cubalah kira amalan diri sendiri. Tak perlulah bising-bising nak hitung amalan orang lain punya. 

        Kalau kiranya amalan kita dalam bulan yang mulia ini sama saja dengan amalan dalam bulan lain itu cepat-cepatlah ambil tindakan untuk perbaiki amal. Yalah bulan Ramadhan ini bukannya calang-calang bulan. Bulan inilah yang di dalamnya terkandung pelbagai kelebihan dan rahmat Allah. Bulan Ramadhan ini pada awalnya rahmat, pertengahannya keampunan, dan pada akhirnya pelepasan diri kita daripada api neraka. 

        Mungkin ramai antara kita ini yang sedikit lalai. Sudahlah bertuah badan dapat kecapi bulan Ramadhan ini buat sekian kalinya namun dalam hati kurang perasaan atau semangat untuk merebut peluang keemasan untuk beribadat sebanyak yang mungkin. Mungkin disebabkan sibuk dengan pelbagai urusan harian sehingga tak sedar peluang keemasan ini. Kalau lupa saya nak ingatkan dalam bulan ini segala amalan kebajikan yang kita lakukan akan dilipatgandakan lebih banyak daripada ganjaran semasa bulan-bulan yang lain. Begitulah juga dengan maksiat akan dilipatgandakan balasan dosanya pula. 

        Jadi apa tunggu lagi, ayuh kita meraih sepenuhnya peluang yang ada. Kita masih belum terlambat. Bulan Ramadhan masih banyak hari yang berbaki lagi. Yang sudah biarlah sudah, yang mendatang jangan disia-siakan.
Penutup..sila layan video solat terawih dari Mekah. 

Salam. Ramadhan Karim.
T.T.


Selasa, 31 Julai 2012

Pembuka Bicara



Assalamualaikum pembuka bicara,
Semoga berkat hingga akhirnya,
Tokdin Tuman mula bersuara,
Semoga bermanfaat untuk semua.

Burung bangun awalnya pagi,
Dinihari waktunya subuh,
jangan cuma awalnya jua berapi-api,
akhirnya nanti segan nak tumbuh.


---Cukuplah rasanya sebagai pembuka tirai ruangan Tokdin Tuman---