Credit: Wallpapers Wala |
Sekarang ini sudah pun masuk tahun baru masihi. Sudah berdentum-dentum bunga api memercik indah di kaki langit malam tanggal 1 Januari 2013. Manakala aku pula sudah lama berjeda daripada menulis apa-apa. Orang ingin berpunya laman blog, aku pun turut ingin berblog. Namun dalam hati tiada semangat untuk terus menulis.
Hmm...Aku mendengus sendirian tatkala mengenangkan kembali saat aku mulai membina laman blog ini dahulu. Ya, sudah pasti pada saat itu semangat masih memuncak, menderu-deru idea datang menerpa ke kotak fikiranku. Apakan daya semangat hanya tinggal semangat. Orang kata hangat-hangat tahi ayam, manakan lama hangatnya bertahan.
Sudah jauh aku merapu menerbak bicara entah ke mana. Pada kali ini, tulisanku sekadar pembuka bicara buat tahun baru 2013. Sebagaimana lumrah masuk ke tahun baru, semua orang berebut-rebut memasang azam tahun baru. Aku juga boleh dikatakan sebegitu. Rasanya ingin lebih serius sedikit untuk terus menulis di laman ini. Menulis untuk diri sendiri sekadar mengasahkan lagi bakat menulis. Kalau hendak dikatakan aku punyai bakat menulis, dirasakan tiadalah berbakat mana pun. Cuma yang aku pasti hanyalah jiwaku ini berasakan terpaut dan tertaut juga seronok apabila aku mula mencoret-coret atau mengetuk-ngetuk papan kekunci komputer ribaku itu.
Orang kata jikalau seseorang itu memang dilahirkan dengan jiwa penulis atau dikurniakan bakat untuk menulis, pasti dia akan sentiasa menulis apa sahaja dalam sehari-hari hidupnya. Pendek kata asal bangun sahaja pada waktu pagi, pekerjaan yang pasti dikerjakannya ialah menulis dan terus menulis. Jikalau kutilik-tilik kembali pada batang tubuhku ini. Rasanya tiadalah aku ini menulis setiap hari. Maksudku menulis yang bukan berkaitan dengan nota-nota pengajian dikuliah atau pekerjaanku tetapi menulis cerita, esei, ulasan sesuatu isu atau apa sahaja. Jadi apakah aku ini dilahirkan untuk menulis.
Hendak dibicarakan mengenai teori macam mana lahirnya seorang penulis yang hebat pasti banyak kupasannya. Ada penulis hebat mahupun sasterawan mengatakan penulis berbakat besar itu mesti dilahirkan dengan bakat menulis. Ia tidak dapat dikuasai dengan latihan dan pencarian pengalaman dalam menulis. Namun ada juga yang mengatakan penulis berbakat itu kiranya boleh dicapai oleh sesiapa yang mampu dan mahu untuk terus mengasah bakatnya dan melatih dirinya dalam penulisan walaupun tiada dilahirkan dengan bakat menulis. Aku pula bukanlah orang yang dilahirkan dengan bakat menulis namun aku semakin hari semakin yakin bahawa bidang penulisan ini lebih dekat di jiwaku ini. Seharusnya aku lebih tekun dan istiqamah untuk menulis dan belajar menulis dengan lebih mendalam lagi.
Pada tahun ini juga jikalau panjang umur dan dipermudahkan rezeki, aku berazam untuk memperbanyak pembacaan apa jua buku dan tulisan. Tidak mengira buku fiksyen atau bukan fiksyen, novel, cerpen atau esei dan artikel. Sama ada berbentuk politik, sejarah, sastera serius, psikologi, mahupun keagamaan. Hal ini semua amat penting sekali jikalau aku serius benar untuk menjadi penulis atau sekurang-kurangnya menjadikan penulisan sebagai hobi peribadi. Orang kata kalau penulis itu kurang membaca pasti tulisan hilang mutu isinya. Dalam perancangan telah aku pilih buku-buku tulisan penulis hebat antarabangsa baharu atau yang lama terutamanya yang berbahasa Inggeris atau diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Sebagai contoh, Ernest Hemingway, Charles Dickens, J.D. Salinger, Kazuo Ishiguro, dan berderetan nama penulis yang lain lagi. Ada yang telah kuperoleh buku itu terutamanya dalam bentuk e-book dan ada yang masih dalam pencarian.
Usah banyak berbicara, yang pasti aku hendaklah menunaikan apa-apa yang telah aku berazam. Kalau tidak kelak nanti azam hanya tinggal azam. Aku perlu lebih cekal dan tabah dalam membahagikan masa untuk menulis, membaca, dan pekerjaan yang lain. Semoga dipermudahkan jalan oleh Allah.
يَا حَيُّ يَا قَيُّوْم بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْث
Wasalam....
T.T.
P/S: Tulisan ini pun dah lama ketinggalan, sekarang dah masuk hujung Januari 2013.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan