Kredit: Aliran.com |
Assalamualaikum.
1) Semenjak dua menjak ini jikalau ditinjau di laman-laman sosial seperti di 'Facebook' dan 'Youtube', kelihatan ada satu gejala atau fenomena yang dikenali dengan jolokan 'listen'. Jikalau dilihat status FB kebanyakan orang terutamanya orang ternama banyak dimulakan dengan kalimah 'Listen'.
2) Gejala ini semuanya bermula setelah satu klip video yang menayangkan sesi soal jawab di antara seorang siswi di Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan moderator Forum Suara Mahasiswa yang bertajuk 'Seiringkah Mahasiswa & Siswi dengan Politik' di dalam kampus tersebut.
3) Dalam forum itu penanya soalan iaitu saudari K.S. Bawani telah mengemukakan soalan berkaitan soal politik dan juga berkait rapat dengan perhimpunan BERSIH 3.0. Apa yang menyedihkan adalah moderator iaitu saudari Sharifah Zohra Jabeen, Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) telah memotong K.S. Bawani yang belum habis lagi mengemukakan soalan dan hujahnya itu.
4) Bahkan kelihatan Sharifah bertindak menarik mikrofon daripada Bawani dan tidak menjawab persoalan Bawani tetapi menjawabnya dengan berhujah bahawa semua negara dan manusia punyai masalah termasuk binatang pun punyai masalah jua. Sebelum itu di dalam hujahan Bawani ada membuat perbandingan dengan negara lain yang berupaya menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat. Yang lebih teruk kata-kata Sharifah ketika membalas yang berbaur kritikan pedas dan agak mengaibkan Bawani. Dalam balasannya itu diulang-ulang perkataan 'listen' beberapa kali. Inilah punca yang menyebabkan lahirnya satu trend 'listen' dalam media sosial dewasa ini.
5) Pada pandanganku ini, tidak kiralah kita bersetuju atau tidak dengan apa yang dipegang atau apa yang dipersoalkan oleh sesiapa, kita harus menghormati pegangan dan pendapat mereka. Dalam ruangan seperti forum ini seharusnya peluang untuk bersuara perlu diberikan dengan sebaiknya. Namun ada maklumat yang mengatakan Bawani mengajukan soalan di luar waktu sesi soal jawab dan pada ketika masa sudah suntuk yang menyebabkan Sharifah memotong soalan beliau. Oleh itu, ada kemungkinan Sharifah terpaksa memotong soalan Bawani yang sememangnya agak panjang.
6) Walau bagaimanapun, tidak seharusnya Sharifah bertindak sedemikian (tarik mikrofon & jawapan tidak berkaitan) seakan-akan tidak menghormati si penanya bahkan seakan-akan turut mengaibkan beliau pula. Namun sesiapa sahaja yang ingin bertanya perlu juga mengelakkan soalan yang berbentuk provokasi. Pada hematku soalan Bawani itu tidaklah berbaur tegar provokasinya itu. Lebih sekadar meluahkan pandangan.
6) Sepatutnya apa sahaja yang kita tidak setuju perlu ditanggapi dengan bijaksana. Peganglah prinsip ini: kita bersetuju untuk tidak setuju dalam sesuatu isu. Maksudnya kita menghormati perbezaan pendapat. Barulah negara kita akan berkembang sihat. Usah dikongkongi kebebasan berfikir dalam kalangan rakyat apatah lagi mereka yang bergelar siswa-siswi. Mereka ini tentunya amat perlu kepada kebebasan berfikir agar kelak lebih hidup dan subur budaya ilmu dan akademik di Malaysia ini.
7) Semoga peristiwa ini akan menyedarkan kita semua tak kira di pihak mana kita berada dan menyokong. Marilah kita sama-sama membudayakan amalan politik yang matang. Politik yang berteraskan hujah. Politik yang bebas daripada kutuk-mengutuk, keji-mengeji, dan fitnah-memfitnah. Seterusnya apa yang lebih penting wujudkan kebebasan ahli akademik dan mahasiswa serta mahasiswi untuk bebas berfikir, mengkritik, dan mengkaji. Akhir kalam, semoga pada masa akan datang saudari Sharifah dapat lebih profesional dan berhemah dalam mengawal perjalanan forum terutamanya menghadapi penanya soalan.
Inilah sedutan soal jawab Bawani & Sharifah tengok dan nilai sendirilah:
Sila layan video parodi oleh Mat Luthfi (banyak mesejnya) haha... dasssh :
Ini pula reaksi Namawee dengan Fenomena 'Listen' (agak sarkastik):
Salam...
T.T.