Sekarang
ini sudah masuk ke peringkat sengit demam musim pilihanraya. Walaupun belum
sampai ke kemuncaknya yakni fasa berkempen namun suasana panas kian terasa
bahangnya. Buktinya dapat dilihat dengan terang lagi bersuluh di merata-rata
kawasan dalam negara. Bendera-bendera parti politik memenuhi ruangan di tepi
jalan raya. Jikalau ditinjau dalam dunia laman sesawang dan sosial pula kempen
politik sedang rancak disebarkan. Sebagai contoh di laman sosial Facebook dan
Twitter, sudah berapa banyak status dan ‘twit’ berbaur politik telah dimuat
naik. Tidak kurang pula dengan fitnah, kutukan, cacian, dan pelbagai taktik
kotor turut tersebar di laman internet.
Seiring dengan kemajuan teknologi,
strategi kempen politik turut sama berevolusi melalui saluran media alternatif
yang rata-ratanya digemari oleh para remaja di samping golongan sasaran yang
lain. Hal ini sudah tentu satu lubuk emas bagi para politikus tanah air yang
semakin sedar akan potensi kuasa pilihan generasi Y atau anak muda. Mereka
merupakan rakyat yang berlatarbelakangkan pelajaran yang lebih tinggi dan
sistematik. Bagi merenggut hati nurani remaja hari ini para politikus tidak
sahaja perlu mengemukan hujah yang berjejak di bumi yang nyata yakni berfakta
dan bukan sekadar hujah berasaskan khayalan semata-mata. Apa yang pasti medium
atau ruang terbaik untuk meraih undi dan perhatian para belia adalah dalam
laman media alternatif ini.
Pilihan di tangan anda Kredit foto: Suahati |
Jika dahulu kempen melalui media cetak seperti akhbar atau media elektronik seperti televisyen sudah cukup bagi strategi kempen politik tetapi tidak pada era globalisasi dewasa ini. Di antara dua aliran politik negara, parti-parti politik daripada Pakatan Rakyat sudah lebih awal dan meluas penggunaan media alternative ini semenjak PRU 12 2008 yang telah lalu. Walau bagaimanapun, parti-parti politik daripada pihak Barisan Nasional khususnya UMNO sudah semakin sedar akan peri pentingnya penggunaan media alternative dalam kempen poltik mereka. Hal ini terbukti dengan tindakan Perdana Menteri sendiri, Dato’ Seri Najib Tun Haji Abdul Razak yang bergiat aktif melalui laman blog/sesawang, Facebook dan Twitter. Walaupun begitu apa yang dapat kita rumuskan parti-parti komponen Barisan Nasional masih ketinggalan dalam strategi kempen politik menerusi saluran media alternative ini. Ya betul mereka ada menggunakannya namun tidak setangkas dan menyeluruh sebagaimana komponen Pakatan Rakyat.
Walau bagaimana hebatnya pun
penggunaan media baru yang berasaskan internet dan teknologi canggih seperti
gajet Iphone, Ipad, Galaxy Tab, dan sebagainya lagi, kempen menggantung bendera
parti-parti politik masih tetap diamalkan. Rasanya mungkin kempen politik itu
tidak cukup ummph atau gah jikalau hanya sekadar di laman media maya sahaja.
Kempen secara ‘real’ sebagaimana aksi memanjat tiang-tiang dan pokok-pokok
untuk menggantung bendera barangkali menatijahkan auranya yang tersendiri.
Perang Bendera Kredit foto: kroleZONE |
Marilah kita sama-sama mewujudkan
suasana dan budaya politi matang. Politik yang berasaskan kepada hujah dan
fakta serta bukannya politik yang menebal dengan sentimen perkauman, emosi,
fitnah, kutukan, dan auta.
“Bersama
menuju ke arah politik matang
Tinggal-tinggalkan Politik Bangang,
Tinggal-tinggalkan Politik Bangang,
Semoga kelak
negara aman tenteram."
---------------------------
P/S:
Kepada mereka yang sudah berdaftar mengundi jangan lupa tanggungjawab anda
untuk keluar mengundi. Mengundi bagi kita orang Islam adalah suatu syahadah
atau penyaksian terhadap pemilihan pemimpin negara.
--Tokdin
Tuman, 15/04/13 --