Isnin, 15 April 2013

PRU 13: Perang Bendera v.s. Perang Laman Sosial




Sekarang ini sudah masuk ke peringkat sengit demam musim pilihanraya. Walaupun belum sampai ke kemuncaknya yakni fasa berkempen namun suasana panas kian terasa bahangnya. Buktinya dapat dilihat dengan terang lagi bersuluh di merata-rata kawasan dalam negara. Bendera-bendera parti politik memenuhi ruangan di tepi jalan raya. Jikalau ditinjau dalam dunia laman sesawang dan sosial pula kempen politik sedang rancak disebarkan. Sebagai contoh di laman sosial Facebook dan Twitter, sudah berapa banyak status dan ‘twit’ berbaur politik telah dimuat naik. Tidak kurang pula dengan fitnah, kutukan, cacian, dan pelbagai taktik kotor turut tersebar di laman internet.

        Seiring dengan kemajuan teknologi, strategi kempen politik turut sama berevolusi melalui saluran media alternatif yang rata-ratanya digemari oleh para remaja di samping golongan sasaran yang lain. Hal ini sudah tentu satu lubuk emas bagi para politikus tanah air yang semakin sedar akan potensi kuasa pilihan generasi Y atau anak muda. Mereka merupakan rakyat yang berlatarbelakangkan pelajaran yang lebih tinggi dan sistematik. Bagi merenggut hati nurani remaja hari ini para politikus tidak sahaja perlu mengemukan hujah yang berjejak di bumi yang nyata yakni berfakta dan bukan sekadar hujah berasaskan khayalan semata-mata. Apa yang pasti medium atau ruang terbaik untuk meraih undi dan perhatian para belia adalah dalam laman media alternatif ini.

Pilihan di tangan anda
Kredit foto: Suahati 

Jika dahulu kempen melalui media cetak seperti akhbar atau media elektronik seperti televisyen sudah cukup bagi strategi kempen politik tetapi tidak pada era globalisasi dewasa ini. Di antara dua aliran politik negara, parti-parti politik daripada Pakatan Rakyat sudah lebih awal dan meluas penggunaan media alternative ini semenjak PRU 12 2008 yang telah lalu. Walau bagaimanapun, parti-parti politik daripada pihak Barisan Nasional khususnya UMNO sudah semakin sedar akan peri pentingnya penggunaan media alternative dalam kempen poltik mereka. Hal ini terbukti dengan tindakan Perdana Menteri sendiri, Dato’ Seri Najib Tun Haji Abdul Razak yang bergiat aktif melalui laman blog/sesawang, Facebook dan Twitter. Walaupun begitu apa yang dapat kita rumuskan parti-parti komponen Barisan Nasional masih ketinggalan dalam strategi kempen politik menerusi saluran media alternative ini. Ya betul mereka ada menggunakannya namun tidak setangkas dan menyeluruh sebagaimana komponen Pakatan Rakyat.

        Walau bagaimana hebatnya pun penggunaan media baru yang berasaskan internet dan teknologi canggih seperti gajet Iphone, Ipad, Galaxy Tab, dan sebagainya lagi, kempen menggantung bendera parti-parti politik masih tetap diamalkan. Rasanya mungkin kempen politik itu tidak cukup ummph atau gah jikalau hanya sekadar di laman media maya sahaja. Kempen secara ‘real’ sebagaimana aksi memanjat tiang-tiang dan pokok-pokok untuk menggantung bendera barangkali menatijahkan auranya yang tersendiri.

Perang Bendera
Kredit foto: kroleZONE
      Walau apa pun kaedah kempen politik yang hendak digunakan oleh sesuatu parti politik, diharap janganlah sampai melampaui batas. Berkempenlah dengan sikap yang professional dan budiman. Berperang bendera tidak mengapa asal tidak berperang fizikal dan bermusuhan. Sesuatu yang amat menyedihkan dan tidak matang apabila berlakunya pergaduhan di antara pemasang bendera sesuatu parti sehingga berlakunya kecederaan. Kes terbaru dalam musim PRU ke-13 ini, berlakunya suatu pergaduhan semasa pemasang bendera sebuah parti politik ingin memasang bendera parti mereka di Kemaman, Terengganu. Amat malang jika kita terlampau taksub berpoliti sampai hendak bercakaran sesama sendiri apatah lagi yang bergaduh itu sesame Islam dan sebangsa pula.

       Marilah kita sama-sama mewujudkan suasana dan budaya politi matang. Politik yang berasaskan kepada hujah dan fakta serta bukannya politik yang menebal dengan sentimen perkauman, emosi, fitnah, kutukan, dan auta.

“Bersama menuju ke arah politik matang    
Tinggal-tinggalkan Politik Bangang,
 Semoga kelak negara aman tenteram."


---------------------------

P/S: Kepada mereka yang sudah berdaftar mengundi jangan lupa tanggungjawab anda untuk keluar mengundi. Mengundi bagi kita orang Islam adalah suatu syahadah atau penyaksian terhadap pemilihan pemimpin negara.

--Tokdin Tuman, 15/04/13 --


Tiada ulasan:

Catat Ulasan