Ahad, 26 Januari 2014

Detik Mula Cinta Saya Untuk Menulis


Foto: Wikipedia.org
Alhamdulillah, pada kali ini saya mempunyai kesempatan untuk mencoret di laman blog ini buat sekalian kalinya. Jikalau sebelum ini tulisan saya yang sulung buat tahun 2014 ini merupakan satu rantaian puisi namun pada kali ini saya ingin membawa isu atau cerita yang lain pula. Saya ingin berkongsi cerita mengenai minat saya pada penulisan puisi dan juga tulisan yang berbentuk rencana dan yang seumpama dengannya. 

Bukanlah saya ini seorang yang mahir atau ahli dalam bidang penulisan ini. Cuma sekadar amatur dan masih lagi setahun jagung. Orang kata jikalau bayi, saya ini masih lagi belum mampu meniarap apatah lagi untuk mengesot dan seterusnya merangkak. Apa yang saya yakin dan pegang erat adalah setiap apa pun yang kita buat atau ingin capai mestilah dengan kesungguhan dan kesabaran. Dalam melangkah ke arah tujuan itu pula haruslah disulam erat dengan rasa sabar. Tidak terlupa juga apa yang penting iaitu jangan takut untuk membuat salah walaupun dalam berkarya.


Foto: Westfield State University
Jikalau ditanya bilakah saya mulai minat dengan dunia penulisan dan yang berkait dengannya ini, tidak dapatlah saya jelaskan dengan terang lagi bersuluh. Bukan apa saya pun belum jelas benar duduk perkara akan hal ini. Barangkali minat ini timbul semenjak kecil seawal sekolah rendah. Dahulunya kakak sulung saya rajin menghadiahkan buku-buku cerita kanak-kanak kepada saya. Inilah yang mungkin menjadi satu suntikan kepada saya untuk minat dengan dunia buku dan pembacaan.

Pada awalnya manalah ada lagi tercetus di benak hati untuk menulis dan berkarya. Cuma saya menjadi semakin minat dan akhirnya obses dengan buku-buku. Bermula dengan buku cerita hikayat dongeng Melayu dan juga cerita fabel Inggeris sehinggalah ke buku sirah Nabi dan cerita berunsurkan Islam. Seterusnya, saya mulai giat mengumpul duit saku sekolah sendiri untuk membeli buku-buku cerita yang diidam-idamkan di samping mem’bodek’ ayah saya untuk belikan buku untuk saya.

Saya berasa begitu bersyukur kerana semenjak saya mulai kenal dan cinta akan buku saya semakin terarah kepada buku-buku Islamik. Bukan semata-mata buku sirah dan cerita namun lebih kepada pengetahuan agama. Tidak kiralah buku berkaitan soal fardu ain mahupun yang lain-lain. Dengan itu saya mulai lebih celik sedikit mengenai soal dan isu agama. Namun tidaklah sedalam mana pun cuma lebih sedikit terbuka ufuk minda dalam bab agama.

Berbalik kepada soal saya mula berkarya. Pada awalnya, sememangnya saya belum lagi mula menulis apa-apa tulisan melainkan apa yang ada dalam pembelajaran saya di sekolah. Mungkin sekadar lebih gemar membaca dan menambahkan pengetahuan melalui pembacaan. Sejujurnya saya tidak kreatif dalam penulisan cerpen dan cerita-cerita naratif. Semenjak UPSR dahulu lagi jikalau ada karangan berkaitan bercerita saya tidak berapa gemar menulis cerita naratif sebegini. Cuma pada waktu sekolah rendah penulisan karangannya begitu ringkas jadi tidaklah hal ini menjadi satu masalah besar kepada saya.

Foto: Berita Sarah

Ketika saya mulai menjejakkan kaki ke bangku sekolah menengah baharulah saya terdedah dengan penulisan rencana dan yang lain-lain. Ketika inilah saya rasa sedar akan minat saya yang suka menulis karangan terutamanya yang berbentuk rencana, berita, dan seumpamanya kecuali yang berbentuk cerita atau naratif. Dalam kertas peperiksaan subjek bahasa Melayu, terdapat lebih kurang lima soalan karangan sebagai pilihan. Apa yang pasti saya tidak akan memilih soalan karangan yang berbentuk cerita atau sambung atau guna ayat cerita yang ada.

Entahlah mungkin saya ini tidak kreatif dalam penulisan cerpen dan novel seperti ini. Sehingga sekarang saya masih lagi mencuba menulis namun belum berjaya lagi menghabiskan penulisan itu. Sudah banyak idea yang terilham namun belum kesampaian. Beberapa cerpen saya mula tulis namun satu pun belum kesudahan. Usahkan menghasilkan cerpen yang berkualiti, satu cerpen pun belum terkarang lagi. Yang ada hanyalah draf yang terbengkalai.

Antara sebab saya belum lagi mampu menulis cerpen adalah sikap saya yang bertangguh untuk mencuba menulis satu cerpen. Mungkin sebab dahulu lagi suka mengelak menulis cerpen dalam karangan sekolah saya jadi malas untuk mengusahakannya. Barulah sekarang saya mula melangkah setapak ke depan dengan cubaan rambang menulis cerpen. Doakan agar saya mampu menyudahkan apa yang saya telah tulis itu. Sebenarnya saya tak mengharapkan cerpen sulung saya itu elok pun cukuplah sekadar boleh dianggap satu cerpen.
Tulislah kalau tak sampai bila tak jadi penulis.
Foto: Fulco's Den

Berlainan dengan penulisan genre berbentuk puisi, saya pada mulanya tidaklah berasa pandai atau berbakat untuk berpuisi. Namun disebabkan saya gemar bermain kata dan menyusun ungkapan yang menarik seperti kata-kata berbunga, saya mula sedikit demi sedikit bertatih menulisnya sehingga akhirnya bolehlah menulis puisi yang tak seberapa itu. Kiranya puisi saya lebih elok daripada cerpen sebab saya dah tulis beberapa rangkap puisi yang banyaknya berupa sajak di samping pantun yang biasa-biasa rupanya. Hakikatnya saya pun malu dengan puisi itu takut-takut belum empuk untuk dianggap sebagai satu puisi. Cukuplah dahulu cerita berkenaan  minat menulis saya untuk entri pada kali ini. Nanti saya sambung pada tulisan yang akan datang.
Wassalam.
T.T.

____________________

P/s: Dicoret pada Sabtu malam Ahad tanggal 25/01/14 @11.24 p.m. bersamaan 24 Rabiul Awwal 1435H.