Foto: Wikipedia.org |
Bukanlah saya ini seorang yang mahir atau ahli dalam bidang penulisan ini. Cuma sekadar amatur dan masih lagi setahun jagung. Orang kata jikalau bayi, saya ini masih lagi belum mampu meniarap apatah lagi untuk mengesot dan seterusnya merangkak. Apa yang saya yakin dan pegang erat adalah setiap apa pun yang kita buat atau ingin capai mestilah dengan kesungguhan dan kesabaran. Dalam melangkah ke arah tujuan itu pula haruslah disulam erat dengan rasa sabar. Tidak terlupa juga apa yang penting iaitu jangan takut untuk membuat salah walaupun dalam berkarya.
Foto: Westfield State University |
Pada awalnya manalah ada
lagi tercetus di benak hati untuk menulis dan berkarya. Cuma saya menjadi
semakin minat dan akhirnya obses dengan buku-buku. Bermula dengan buku cerita
hikayat dongeng Melayu dan juga cerita fabel Inggeris sehinggalah ke buku sirah
Nabi dan cerita berunsurkan Islam. Seterusnya, saya mulai giat mengumpul duit
saku sekolah sendiri untuk membeli buku-buku cerita yang diidam-idamkan di
samping mem’bodek’ ayah saya untuk belikan buku untuk saya.
Saya berasa begitu
bersyukur kerana semenjak saya mulai kenal dan cinta akan buku saya semakin
terarah kepada buku-buku Islamik. Bukan semata-mata buku sirah dan cerita namun
lebih kepada pengetahuan agama. Tidak kiralah buku berkaitan soal fardu ain
mahupun yang lain-lain. Dengan itu saya mulai lebih celik sedikit mengenai soal
dan isu agama. Namun tidaklah sedalam mana pun cuma lebih sedikit terbuka ufuk
minda dalam bab agama.
Berbalik kepada soal saya
mula berkarya. Pada awalnya, sememangnya saya belum lagi mula menulis apa-apa
tulisan melainkan apa yang ada dalam pembelajaran saya di sekolah. Mungkin
sekadar lebih gemar membaca dan menambahkan pengetahuan melalui pembacaan.
Sejujurnya saya tidak kreatif dalam penulisan cerpen dan cerita-cerita naratif.
Semenjak UPSR dahulu lagi jikalau ada karangan berkaitan bercerita saya tidak
berapa gemar menulis cerita naratif sebegini. Cuma pada waktu sekolah rendah
penulisan karangannya begitu ringkas jadi tidaklah hal ini menjadi satu masalah
besar kepada saya.
Foto: Berita Sarah |
Entahlah mungkin saya ini
tidak kreatif dalam penulisan cerpen dan novel seperti ini. Sehingga sekarang
saya masih lagi mencuba menulis namun belum berjaya lagi menghabiskan penulisan
itu. Sudah banyak idea yang terilham namun belum kesampaian. Beberapa cerpen
saya mula tulis namun satu pun belum kesudahan. Usahkan menghasilkan cerpen
yang berkualiti, satu cerpen pun belum terkarang lagi. Yang ada hanyalah draf
yang terbengkalai.
Antara sebab saya belum
lagi mampu menulis cerpen adalah sikap saya yang bertangguh untuk mencuba
menulis satu cerpen. Mungkin sebab dahulu lagi suka mengelak menulis cerpen
dalam karangan sekolah saya jadi malas untuk mengusahakannya. Barulah sekarang
saya mula melangkah setapak ke depan dengan cubaan rambang menulis cerpen.
Doakan agar saya mampu menyudahkan apa yang saya telah tulis itu. Sebenarnya
saya tak mengharapkan cerpen sulung saya itu elok pun cukuplah sekadar boleh
dianggap satu cerpen.
Tulislah kalau tak sampai bila tak jadi penulis. Foto: Fulco's Den |
Berlainan dengan
penulisan genre berbentuk puisi, saya pada mulanya tidaklah berasa pandai atau
berbakat untuk berpuisi. Namun disebabkan saya gemar bermain kata dan menyusun
ungkapan yang menarik seperti kata-kata berbunga, saya mula sedikit demi
sedikit bertatih menulisnya sehingga akhirnya bolehlah menulis puisi yang tak
seberapa itu. Kiranya puisi saya lebih elok daripada cerpen sebab saya dah
tulis beberapa rangkap puisi yang banyaknya berupa sajak di samping pantun yang
biasa-biasa rupanya. Hakikatnya saya pun malu dengan puisi itu takut-takut
belum empuk untuk dianggap sebagai satu puisi. Cukuplah dahulu cerita berkenaan minat menulis saya untuk entri pada kali ini.
Nanti saya sambung pada tulisan yang akan datang.
Wassalam.
T.T.
____________________
P/s: Dicoret pada Sabtu malam
Ahad tanggal 25/01/14 @11.24 p.m. bersamaan 24 Rabiul Awwal 1435H.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan