Sudah lama rasanya saya tidak
mengetuk papan kekunci komputer riba ini. Rasanya sudah lebih setahun. Dahulu
kemain kononnya ingin pastikan sentiasa menulis catatan tak kiralah rencanakah
atau apa sahaja. Berupa pengalaman peribadi seharian seperti anekdot ataupun
ulasan apa saja yang berlaku di sekeliling. Pendek kata, sekurang-kurangnya
dalam seminggu satu tulisan harus dikarang kononnya. Namun sebagaimana biasa
ragamnya kebanyakan orang ‘kita’ – hangat-hangat tahi ayam. Mungkin tak ramai
orang kita yang seperti itu tetapi umumnya begitulah dalam sesetengah
pekerjaan. Jangan tersinggung. Biar yang kena saja terasa bak kata orang tua,
siapa makan cili dialah rasa pedasnya. Yang kalau tahan pijar cilinya itu tak
mengapalah kalau mahu diteruskan sikap sebegitu. Selalunya mereka sebegini
ditambah pula satu lagi kata orang tua-tua, bermuka tebal. Walau terkenaatas
batang hidung sendiri, tetap saja tiada endah dan terasa. Cuma jangan sampai
jadi seperti perasan bagus sudahlah.
Mengapa saya tulis begitu? Sebabnya
ada orang tidak sanggup untuk terus menulis walaupun mereka punyai bakat dan
juga punyai minat tetapi ada sahaja kekangan yang datang menghalang. Lumrah
orang sentiasa ada hal yang memerlukan masa yang kian suntuk. Sehari ditetapkan
sunnatullah hanya ada dua puluh empat jam. Tak lebih tak kurang. Sedangkan
permasalahan yang timbul begitu banyak. Ada yang ingin menulis tetapi terlalu
sibuk dengan urusan kerja, rumah tangga, masyarakat, dan bermacam lagi. Jadi
yang tinggal sibuk dan setia untuk menulis hanyalah yang benar-benar cekal
untuk meluangkan masa suntuk mereka itu. Kecualian bagi mereka yang kerjayanya
khusus untuk menulis sepenuh masa. Tak kiralah wartawan, sasterawan, penulis
buku-buku yang beraneka macam, dan seumpamanya. Tuntasnya hanya yang
benar-benar beriltizam tinggi dan berminat sahaja terus kekall menulis.
Selain perkara yang disebutkan tadi,
pada zaman sekarang ini ada semacam trend baru yang juga mengakibatkan semakin
kurang mereka yang ingin menulis. Dengan timbulnya media sosial yang semakin
melebar luas di negara kita, semakin ramai orang sudah jarang lagi mahu menulis
di ruangan seperti buku, blog, atau apa sahaja catatan. Ramai yang lebih gemar
melepas sebarang ilham, luahan perasaan, ulasan peristiwa atau isu-isu yang
timbul terus melalui media sosial
seperti laman Facebook, Twitter, Instagram, Youtube dan lain-lain lagi. Jikalau
dahulunya, mereka yang suka menulis itu menggunakan medium blog – termasuk diri ini – untuk menulis mula
beralih arah. Blognya dipinggirkan sama ada secara sengaja atau secara tidak
sedar. Lalu asyik mencatit tulisan di FB, Twitter, dan seumpamanya.
Dari satu sudut ada baiknya. Menulis
di media sosial ini lebih mudah dan juga
dedahan lebih cepat meluas. Bagi mereka yang inginkan ramai membacanya atau
pengikut mereka tentu lebih senang dengan FB, Twitter dan Insta sebagai contoh.
Kalau dahulu di blog mungkin sedikit rumit. Perlu diedit itu dan ini. Tambahan
pula untuk mendapat dedahan ramai pembaca pula agak sukar jikalau tidak kena
cara dan pandai berblog. Oleh sebab itu, ramai yang lebih suka menulis sahaja
di media sosial.
Ada yang menulis dengan agak baik
walaupun di FB misalnya. Namun ramai
yang apabila beralih kepada FB tulisannya pun sudah tak sebagaimana di blog. Maklumlah di media
sosial ini rata-ratanya tulisan selalunya perlu ringkas dan padat. Kesudahannya, mereka yang
berminat untuk menulis itu akhirnya hilang tempat untuk mengasah penulisan
mereka. Di tambah usaha untuk menulis pun kurang akibat kurang cekal dan
iltizam akhirnya minat ke mana penulisan pun entah ke mana. Bahkan tulisan
sesetengah daripada mereka pun mungkin semakin teruk dek gaya penulisan ringkas.
Tengok sahajalah sebagaimana dalam Twitter yang ruangnya memang terbatas. Iyalah
Twitter itu sebenarnya mini blog. Hanya beberapa ratus aksara sahaja yang
dibenarkan. Nyatalah, sesetengah medium media sosial itu bukan tempat untuk
berlatih menulis yang terbaik.
Walau bagaimanapun, dengan mengambil
contoh Twitter itu, orang ramai di satu sudut menjadi lebih kreatif. Oleh
sebab, ruangan yang terhad dalam Twitter, mereka secara paksa rela perlu
benar-benar memikirkan apakah yang penting untuk ditaip. Secara tidak sedar
sesetengah pengguna twitter ini boleh menjadi sedikit kreatif dan lebih teratur
dalam isi penulisan luahan mereka itu. Mereka perlu pastikan apa yang penting
kerana ruangnya terbatas. Secara peribadi telahan sebegini bolehlah diterima
namun rasanya tidak semua sebegitu. Boleh saja merek ber’twit’ banyak kali
secara rambang menaip apa-apa yang ingin diluahkan. Bahkan ada pula third party
company yang menyediakan aplikasi tambahan yang memungkinkan tulisan yang lebih
panjang bagi yang memerlukan sedemikian. Akhirnya, sama sahaja kesannya pada
pengguna Twitter.
Sebenarnya dalam kepala ini banyak pula idea nak berleter di
tulisan maya ini namun malas nak memanjangkan tulisan. Bukan ramai mereka yang
nak baca tulisan panjang pun. Jadi lebih baik berhenti setakat ini. Yang ini
pun lebih sekadara anekdot catatan peribadi. Nanti rasanya saya ingin sambung
berleter bab media sosial yang kadang-kadang lebih cocok di baca So-Sial ini
(maaf kasar sedikit) dek sebab-sebab tertentu. Ringkasnya salah pengguna itu
sendiri. Nantilah kita bercerita panjang lagi.
--T.T--
Dicoret pada 10 Sept. 2016 = 8 Zulhijah 1437 H