Khamis, 15 September 2016

Kemarau Panjang Coret-mencoret & Media Sosial


            Sudah lama rasanya saya tidak mengetuk papan kekunci komputer riba ini. Rasanya sudah lebih setahun. Dahulu kemain kononnya ingin pastikan sentiasa menulis catatan tak kiralah rencanakah atau apa sahaja. Berupa pengalaman peribadi seharian seperti anekdot ataupun ulasan apa saja yang berlaku di sekeliling. Pendek kata, sekurang-kurangnya dalam seminggu satu tulisan harus dikarang kononnya. Namun sebagaimana biasa ragamnya kebanyakan orang ‘kita’ – hangat-hangat tahi ayam. Mungkin tak ramai orang kita yang seperti itu tetapi umumnya begitulah dalam sesetengah pekerjaan. Jangan tersinggung. Biar yang kena saja terasa bak kata orang tua, siapa makan cili dialah rasa pedasnya. Yang kalau tahan pijar cilinya itu tak mengapalah kalau mahu diteruskan sikap sebegitu. Selalunya mereka sebegini ditambah pula satu lagi kata orang tua-tua, bermuka tebal. Walau terkenaatas batang hidung sendiri, tetap saja tiada endah dan terasa. Cuma jangan sampai jadi seperti perasan bagus sudahlah.

            Mengapa saya tulis begitu? Sebabnya ada orang tidak sanggup untuk terus menulis walaupun mereka punyai bakat dan juga punyai minat tetapi ada sahaja kekangan yang datang menghalang. Lumrah orang sentiasa ada hal yang memerlukan masa yang kian suntuk. Sehari ditetapkan sunnatullah hanya ada dua puluh empat jam. Tak lebih tak kurang. Sedangkan permasalahan yang timbul begitu banyak. Ada yang ingin menulis tetapi terlalu sibuk dengan urusan kerja, rumah tangga, masyarakat, dan bermacam lagi. Jadi yang tinggal sibuk dan setia untuk menulis hanyalah yang benar-benar cekal untuk meluangkan masa suntuk mereka itu. Kecualian bagi mereka yang kerjayanya khusus untuk menulis sepenuh masa. Tak kiralah wartawan, sasterawan, penulis buku-buku yang beraneka macam, dan seumpamanya. Tuntasnya hanya yang benar-benar beriltizam tinggi dan berminat sahaja terus kekall menulis.

            Selain perkara yang disebutkan tadi, pada zaman sekarang ini ada semacam trend baru yang juga mengakibatkan semakin kurang mereka yang ingin menulis. Dengan timbulnya media sosial yang semakin melebar luas di negara kita, semakin ramai orang sudah jarang lagi mahu menulis di ruangan seperti buku, blog, atau apa sahaja catatan. Ramai yang lebih gemar melepas sebarang ilham, luahan perasaan, ulasan peristiwa atau isu-isu yang timbul terus melalui  media sosial seperti laman Facebook, Twitter, Instagram, Youtube dan lain-lain lagi. Jikalau dahulunya, mereka yang suka menulis itu menggunakan medium blog  – termasuk diri ini – untuk menulis mula beralih arah. Blognya dipinggirkan sama ada secara sengaja atau secara tidak sedar. Lalu asyik mencatit tulisan di FB, Twitter, dan seumpamanya.

            Dari satu sudut ada baiknya. Menulis di media sosial ini lebih mudah dan  juga dedahan lebih cepat meluas. Bagi mereka yang inginkan ramai membacanya atau pengikut mereka tentu lebih senang dengan FB, Twitter dan Insta sebagai contoh. Kalau dahulu di blog mungkin sedikit rumit. Perlu diedit itu dan ini. Tambahan pula untuk mendapat dedahan ramai pembaca pula agak sukar jikalau tidak kena cara dan pandai berblog. Oleh sebab itu, ramai yang lebih suka menulis sahaja di media sosial.

            Ada yang menulis dengan agak baik walaupun di FB  misalnya. Namun ramai yang apabila beralih kepada FB tulisannya pun sudah  tak sebagaimana di blog. Maklumlah di media sosial ini rata-ratanya tulisan selalunya perlu  ringkas dan padat. Kesudahannya, mereka yang berminat untuk menulis itu akhirnya hilang tempat untuk mengasah penulisan mereka. Di tambah usaha untuk menulis pun kurang akibat kurang cekal dan iltizam akhirnya minat ke mana penulisan pun entah ke mana. Bahkan tulisan sesetengah daripada mereka pun mungkin semakin teruk dek gaya penulisan ringkas. Tengok sahajalah sebagaimana dalam Twitter yang ruangnya memang terbatas. Iyalah Twitter itu sebenarnya mini blog. Hanya beberapa ratus aksara sahaja yang dibenarkan. Nyatalah, sesetengah medium media sosial itu bukan tempat untuk berlatih menulis yang terbaik.

            Walau bagaimanapun, dengan mengambil contoh Twitter itu, orang ramai di satu sudut menjadi lebih kreatif. Oleh sebab, ruangan yang terhad dalam Twitter, mereka secara paksa rela perlu benar-benar memikirkan apakah yang penting untuk ditaip. Secara tidak sedar sesetengah pengguna twitter ini boleh menjadi sedikit kreatif dan lebih teratur dalam isi penulisan luahan mereka itu. Mereka perlu pastikan apa yang penting kerana ruangnya terbatas. Secara peribadi telahan sebegini bolehlah diterima namun rasanya tidak semua sebegitu. Boleh saja merek ber’twit’ banyak kali secara rambang menaip apa-apa yang ingin diluahkan. Bahkan ada pula third party company yang menyediakan aplikasi tambahan yang memungkinkan tulisan yang lebih panjang bagi yang memerlukan sedemikian. Akhirnya, sama sahaja kesannya pada pengguna Twitter.


            Sebenarnya dalam  kepala ini banyak pula idea nak berleter di tulisan maya ini namun malas nak memanjangkan tulisan. Bukan ramai mereka yang nak baca tulisan panjang pun. Jadi lebih baik berhenti setakat ini. Yang ini pun lebih sekadara anekdot catatan peribadi. Nanti rasanya saya ingin sambung berleter bab media sosial yang kadang-kadang lebih cocok di baca So-Sial ini (maaf kasar sedikit) dek sebab-sebab tertentu. Ringkasnya salah pengguna itu sendiri. Nantilah kita bercerita panjang lagi. 

--T.T--
Dicoret pada 10 Sept. 2016 = 8 Zulhijah 1437 H

Tiada ulasan:

Catat Ulasan