Jumaat, 14 Februari 2014

Akhirnya Suara Guru Didengar – PBS Dikaji Semula

Foto: Docstoc

Syukur kepada Tuhan. Pada hari ini saya dapat menulis lagi. Dalam akhbar semalam (pada masa artikel ini ditulis) terpampang kenyataan Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan kerajaan akan mengkaji semula pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) secara menyeluruh. Dalam kenyataan akhbar, beliau dipetik berkata kerajaan belum memutuskan sama ada PBS akan ditangguhkan dahulu atau diteruskan. Ia akan diputuskan dalam satu mesyuarat yang bakal diadakan dalam masa terdekat. Hal ini perlu dibuat rentetan terdapat pelbagai masalah dihadapi guru dalam melaksanakan PBS tersebut.

Pertama sekali, tahniah saya ucapkan kepada semua guru-guru terutamanya terhadap persatuan guru yang sebelum ini telah lama bersuara tentang masalah dalam pelaksanaan sistem PBS ini. Dahulunya komen dan aduan mereka seakan-akan tidak dilayan namun akhirnya ternyata suara mereka didengar juga. Dahulunya yakni pada tahun lepas semasa isu PBS ini mula hangat di sekolah-sekolah. Kakak saya yang juga seorang guru sekolah menengah ada menceritakan tentang masalah PBS ini. Katanya ramai guru sendiri yang tidak setuju dengan sistem ini. Ada banyak masalahnya dari segi kesan terhadap pelajar di samping masalah teknikal pelaksanaannya itu. Selain itu, ada cerita yang katanya PBS ini ditiru daripada Jepun (kalau tak silap sayalah) tetapi khabarnya Jepun sendiri sudah meninggalkan sistem ini dan memakai sistem lain. Entahlah itu maklumat betul atau tidak. Walau apa pun, saya katakan pada kakak saya kenapa tidak buat aduan/komen ke akhbar  saja. Semoga ada orang dengar komen ini. Lalu saya menawarkan diri nak tulis aduan ke akhbar dan kakak pun mengiyakan saja.

Proses Pentaksiran PBS
Foto: Ronn97

Walau bagaimanapun sampai ke hari ini saya tak tulis-tulis aduan itu. Bukan tak nak tulis cuma sebelum saya nak tulis itu saya mahu selidik dulu tentang konsep PBS ini. Lalu saya cuba cari maklumat tentang sistem PBS ini. Saya baca dan semak secara kasar dokumen berkaitan sistem PBS ini yang boleh diakses daripada pihak kementerian di samping mendapatkannya secara alam maya. Walaupun tak baca habis lagi, saya akui secara kasarnya PBS ini sistemnya agak kemas. Ringkasnya saya tak jadi nak tulis komen sebab secara teori PBS nampak okey. Kalau nak komen pun tentulah terhadap pelaksanaannya dan saya insaf yang saya ini sudah lama meninggalkan sekolah jadi tidak mendapat sebarang maklumat yang jelas tentang praktikalnya. Lainlah kalau saya ini masih lagi belajar di sekolah boleh juga nak membuat komen tentang PBS ini. Bukan apa saya tak nak komen secara membabi buta saja. Tak pasal-pasal timbul isu lain.

Sebenarnya saya bersyukur sebab sudah lama meninggalkan alam persekolahan. Kalau tidak dengan saya sekali akan terkesan dengan masalah ini. Secara teorinya, atas kertas PBS ini sistemnya nampak kemas, teratur, dan terbaik. Walau bagaimanapun, dari segi pelaksanaannya atau praktikal sebagaimana yang kita dapat saksikan ia banyak masalah yang perlu diperbaiki lagi. Secara peribadi saya berasa ada sesuatu yang tidak kena dengan PBS ini. Mungkin rasa ini timbul disebabkan melihat anak buah saya yang bersekolah rendah asyik pulang tanpa ada kerja rumah langsung. Jarang benar hendak lihat dia membuat latihan atau membuka buku di rumah. Sememangnya PBS ini tidak memberi murid kerja rumah kerana segala latihan harus dibuat di dalam kelas dan terus disemak oleh guru. Setelah itu penilaian perlu dibuat dengan pemberian ‘Band’ markah dari 1-6. Seperti pemarkahan ujian MUET begitulah pemarkahan sistem PBS. Itulah secara ringkasnya PBS ini. Kalau nak diceritakan secara lanjut dah jadi buku ceritalah jawabnya. Saya pun tidak mahir dengannya.

Sistem Band PBS
Foto: Aynorablogs

Selain itu, masalah besar PBS ini setakat makluman saya adalah sistem kemasukan data secara atas talian yang terlalu lembap dan bermasalah. Katanya komputer pelayan (server) bagi sistem kemasukan data PBS  ini terlalu kecil. Saiznya tidak berpadanan dengan jumlah pengguna daripada seluruh sekolah di negara ini. Bayangkanlah dengan jumlah pengguna sebanyak itu pastinya pelayan bersaiz biasa berserta sistem yang masih lagi belum sempurna akan berlakulah kesesakan atas talian yang amat teruk. Kata orang putihnya ‘jammed’.

Tambahan pula sistem PBS ini memerlukan banyak data bagi setiap orang murid dimuatnaikkan secara kerap. Boleh dikatakan setiap hari perlu dikemaskinikan. Katakanlah dalam satu kelas sudah ada paling kurang pun 25-35 orang murid bagi sekolah biasa. Itu baru saja untuk satu mata pelajaran. Dalam satu kelas sudah ada paling kurang pun empat lima mata pelajaran. Bayangkanlah berapa banyak data perlu dimuat naik oleh setiap guru. Dalam sekolah saja guru sudah terbeban dengan masalah teknikal yang merumitkan. Sekarang ini ditambah pula masalah ‘key-in’ data PBS. Lagi bertambah tertekanlah cikgu-cikgu sekolah kita nampaknya. Walaupun guru boleh pulang ke rumah dan muat naik di mana-mana serta bila-bila masa kerana sistem ini secara atas talian tetapi dengan server yang sebegitu teruk pastinya menyusahkan para guru.

Sebelum ini pun sudah banyak kerja yang tidak berkaitan tanggungjawab guru yang asas iaitu untuk mengajar seperti kerja-kerja perkeranian. Cikgu kena isi borang ini borang itu. Cikgu kena tulis surat ini surat itu. Nak kena buat laporan ini laporan itu. Semuanya cikgu. Akhirnya guru penat dengan kerja-kerja yang sepatutnya kerani sekolah yang buatkan. Sedangkan di sesetengah sekolah (biasanya semua sekolah pun sama rasanya) kerani-kerani bukanlah banyak sangat kerja pun. Sampaikan boleh duduk rileks minum-minum air sambil bersembang lagi. Maafkan saya, bukannya niat saya nak salahkan kerani semata-mata tetapi inilah hakikat pembahagian tugas yang membebankan para guru. Sesuatu perlu dilakukan oleh pihak berkaitan. 

Orang sangka kerja guru ini adalah satu kerja kakitangan awam kerajaan yang paling seronok dan senang sebab tak ada waktu pejabat iaitu dari 8.00-5.00 p.m dan adanya cuti sekolah yang panjang. Namun mereka ini tidak tahu betapa banyak kerja lain yang perlu dibuat di luar waktu sekolah. Bukan saja waktu petang bahkan sampai waktu malam termasuk waktu hujung minggu. Bukannya para guru ini ada bayaran kerja lebih masa seperti kerja lain. Kalau ada pun elaun-elaun tertentu sahaja. Itulah pengorbanan guru, terlalu membakar dirinya sampai dah nak hangus lilinnya. Hakikatnya mereka teraniaya dengan beban tugas yang agak melampau. Belum masuk lagi kerenah para pelajar yang berbagai-bagai jenis serta perangai para ibu bapa juga yang sekarang ini makin cerewet.

Semoga pihak kerajaan dan kementerian terutamanya mereka yang berjawatan tinggi di kementerian dan jabatan pelajaran itu teliti dan kaji dengan sedalam-dalamnya sistem PBS ini. Jangan lupa bertanyakan pendapat para guru yang jumlahnya ramai itu. Jangan hanya buat dasar tanpa berpijak di bumi nyata. Bukanlah sistem PBS ini tidak berpijak langsung di atas rumput di bawah cuma ada dua tiga perkara yang perlu dirujuk dan diselidik dulu daripada para guru. Mereka yang duduk tinggi di atas sana hendaklah toleh ke bawah tanya guru-guru ini. Merekalah yang ahli dan lebih berhadapan dengan sistem pembelajaran dan pengajaran serta para murid ini secara langsung. Merekalah yang selayaknya untuk memberi pendapat. Dengarlah rintihan guru bukan hanya para pegawai tinggi sahaja yang tak bersemuka dengan kerenah murid dan sekolah.
Sekian rintihan orang biasa yang bukan guru namun faham apa makna kerja guru hari ini.

---T.T---

________________________________

N/k: Dicatat pada malam Jumaat hari Khamis, 13/02/14.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan