Jumaat, 18 Januari 2013

FENOMENA 'LISTEN, LISTEN, LISTEN'...!!!

Kredit: Aliran.com


Assalamualaikum.

1) Semenjak dua menjak ini jikalau ditinjau di laman-laman sosial seperti di 'Facebook' dan 'Youtube', kelihatan ada satu gejala atau fenomena yang dikenali dengan jolokan 'listen'. Jikalau dilihat status FB kebanyakan orang terutamanya orang ternama banyak dimulakan dengan kalimah 'Listen'. 

2) Gejala ini semuanya bermula setelah satu klip video yang menayangkan sesi soal jawab di antara seorang siswi di Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan moderator Forum Suara Mahasiswa yang bertajuk 'Seiringkah Mahasiswa & Siswi dengan Politik' di dalam kampus tersebut.  

3) Dalam forum itu penanya soalan iaitu saudari K.S. Bawani telah mengemukakan soalan berkaitan soal politik dan juga berkait rapat dengan perhimpunan BERSIH 3.0. Apa yang menyedihkan adalah moderator iaitu saudari Sharifah Zohra Jabeen, Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) telah memotong K.S. Bawani yang belum habis lagi mengemukakan soalan dan hujahnya itu. 

4) Bahkan kelihatan Sharifah bertindak menarik mikrofon daripada Bawani dan tidak menjawab persoalan Bawani tetapi menjawabnya dengan berhujah bahawa semua negara dan manusia punyai masalah termasuk binatang pun punyai masalah jua. Sebelum itu di dalam hujahan Bawani ada membuat perbandingan dengan negara lain yang berupaya menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat.  Yang lebih teruk kata-kata Sharifah ketika membalas yang berbaur kritikan pedas dan agak mengaibkan Bawani. Dalam balasannya itu diulang-ulang perkataan 'listen' beberapa kali. Inilah punca yang menyebabkan lahirnya satu trend 'listen' dalam media sosial dewasa ini. 

5) Pada pandanganku ini, tidak kiralah kita bersetuju atau tidak dengan apa yang dipegang atau apa yang dipersoalkan oleh sesiapa, kita harus menghormati pegangan dan pendapat mereka. Dalam ruangan seperti forum ini seharusnya peluang untuk bersuara perlu diberikan dengan sebaiknya. Namun ada maklumat yang mengatakan Bawani mengajukan soalan di luar waktu sesi soal jawab dan pada ketika masa sudah suntuk yang menyebabkan Sharifah memotong soalan beliau. Oleh itu, ada kemungkinan Sharifah terpaksa memotong soalan Bawani yang sememangnya agak panjang.

6) Walau bagaimanapun, tidak seharusnya Sharifah bertindak sedemikian (tarik mikrofon & jawapan tidak berkaitan) seakan-akan tidak menghormati si penanya bahkan seakan-akan turut mengaibkan beliau pula. Namun sesiapa sahaja yang ingin bertanya perlu juga mengelakkan soalan yang berbentuk provokasi. Pada hematku soalan Bawani itu tidaklah berbaur tegar provokasinya itu. Lebih sekadar meluahkan pandangan.

6) Sepatutnya apa sahaja yang kita tidak setuju perlu ditanggapi dengan bijaksana. Peganglah prinsip ini: kita bersetuju untuk tidak setuju dalam sesuatu isu. Maksudnya kita menghormati perbezaan pendapat. Barulah negara kita akan berkembang sihat. Usah dikongkongi kebebasan berfikir dalam kalangan rakyat apatah lagi mereka yang bergelar siswa-siswi. Mereka ini tentunya amat perlu kepada kebebasan berfikir agar kelak lebih hidup dan subur budaya ilmu dan akademik di Malaysia ini.

7) Semoga peristiwa ini akan menyedarkan kita semua tak kira di pihak mana kita berada dan menyokong. Marilah kita sama-sama membudayakan amalan politik yang matang. Politik yang berteraskan hujah. Politik yang bebas daripada kutuk-mengutuk, keji-mengeji, dan fitnah-memfitnah. Seterusnya apa yang lebih penting wujudkan kebebasan ahli akademik dan mahasiswa serta mahasiswi untuk bebas berfikir, mengkritik, dan mengkaji. Akhir kalam, semoga pada masa akan datang saudari Sharifah dapat lebih profesional dan berhemah dalam mengawal perjalanan forum terutamanya menghadapi penanya soalan.


Inilah sedutan soal jawab Bawani & Sharifah tengok dan nilai sendirilah:

Sila layan video parodi oleh Mat Luthfi (banyak mesejnya) haha... dasssh :

Ini pula reaksi Namawee dengan Fenomena 'Listen' (agak sarkastik):



Salam...
T.T.

Selamat Datang Tahun 2013

Credit: Wallpapers Wala
Assalamualaikum.

          Sekarang ini sudah pun masuk tahun baru masihi. Sudah berdentum-dentum bunga api memercik indah di kaki langit malam tanggal 1 Januari 2013. Manakala aku pula sudah lama berjeda daripada menulis apa-apa. Orang ingin berpunya laman blog, aku pun turut ingin berblog. Namun dalam hati tiada semangat untuk terus menulis.

          Hmm...Aku mendengus sendirian tatkala mengenangkan kembali saat aku mulai membina laman blog ini dahulu. Ya, sudah pasti pada saat itu semangat masih memuncak, menderu-deru idea datang menerpa ke kotak fikiranku. Apakan daya semangat hanya tinggal semangat. Orang kata hangat-hangat tahi ayam, manakan lama hangatnya bertahan.

          Sudah jauh aku merapu menerbak bicara entah ke mana. Pada kali ini, tulisanku sekadar pembuka bicara buat tahun baru 2013. Sebagaimana lumrah masuk ke tahun baru, semua orang berebut-rebut memasang azam tahun baru. Aku juga boleh dikatakan sebegitu. Rasanya ingin lebih serius sedikit untuk terus menulis di laman ini. Menulis untuk diri sendiri sekadar mengasahkan lagi bakat menulis. Kalau hendak dikatakan aku punyai bakat menulis, dirasakan tiadalah berbakat mana pun. Cuma yang aku pasti hanyalah jiwaku ini berasakan terpaut dan tertaut juga seronok apabila aku mula mencoret-coret atau mengetuk-ngetuk papan kekunci komputer ribaku itu.

          Orang kata jikalau seseorang itu memang dilahirkan dengan jiwa penulis atau dikurniakan bakat untuk menulis, pasti dia akan sentiasa menulis apa sahaja dalam sehari-hari hidupnya. Pendek kata asal bangun sahaja pada waktu pagi, pekerjaan yang pasti dikerjakannya ialah menulis dan terus menulis. Jikalau kutilik-tilik kembali pada batang tubuhku ini. Rasanya tiadalah aku ini menulis setiap hari. Maksudku menulis yang bukan berkaitan dengan nota-nota pengajian dikuliah atau pekerjaanku tetapi menulis cerita, esei, ulasan sesuatu isu atau apa sahaja. Jadi apakah aku ini dilahirkan untuk menulis.

          Hendak dibicarakan mengenai teori macam mana lahirnya seorang penulis yang hebat pasti banyak kupasannya. Ada penulis hebat mahupun sasterawan mengatakan penulis berbakat besar itu mesti dilahirkan dengan bakat menulis. Ia tidak dapat dikuasai dengan latihan dan pencarian pengalaman dalam  menulis. Namun ada juga yang mengatakan penulis berbakat itu kiranya boleh dicapai oleh sesiapa yang mampu dan mahu untuk terus mengasah bakatnya dan melatih dirinya dalam penulisan walaupun tiada dilahirkan dengan bakat menulis. Aku pula bukanlah orang yang dilahirkan dengan bakat menulis namun aku semakin hari semakin yakin bahawa bidang penulisan ini lebih dekat di jiwaku ini. Seharusnya aku lebih tekun dan istiqamah untuk menulis dan belajar menulis dengan lebih mendalam lagi.

          Pada tahun ini juga jikalau panjang umur dan dipermudahkan rezeki, aku berazam untuk memperbanyak pembacaan apa jua buku dan tulisan. Tidak mengira buku fiksyen atau bukan fiksyen, novel, cerpen atau esei dan artikel. Sama ada berbentuk politik, sejarah, sastera serius, psikologi, mahupun keagamaan. Hal ini semua amat penting sekali jikalau aku serius benar untuk menjadi penulis atau sekurang-kurangnya menjadikan penulisan sebagai hobi peribadi. Orang kata kalau penulis itu kurang membaca pasti tulisan hilang mutu isinya. Dalam perancangan telah aku pilih buku-buku tulisan penulis hebat antarabangsa baharu atau yang lama terutamanya yang berbahasa Inggeris atau diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Sebagai contoh, Ernest Hemingway, Charles Dickens, J.D. Salinger, Kazuo Ishiguro, dan berderetan nama penulis yang lain lagi. Ada yang telah kuperoleh buku itu terutamanya dalam bentuk e-book dan ada yang masih dalam pencarian.

          Usah banyak berbicara, yang pasti aku hendaklah menunaikan apa-apa yang telah aku berazam. Kalau tidak kelak nanti azam hanya tinggal azam. Aku perlu lebih cekal dan tabah dalam membahagikan masa untuk menulis, membaca, dan pekerjaan yang lain. Semoga dipermudahkan jalan oleh Allah.

                                        يَا حَيُّ يَا قَيُّوْم بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْث
Wasalam....
T.T.

P/S: Tulisan ini pun dah lama ketinggalan, sekarang dah masuk hujung Januari 2013.

Ahad, 4 November 2012

Telaah Buku Siri 1: Tasik Syahdu & Cerpen-Cerpen Lain – A. Samad Said

Sumber: Lazada.com


Pada kali ini saya ingin membicarakan secara ringkas mengenai sebuah buku koleksi cerpen karya Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said. Ruangan ini saya namakan Telaah Buku. 

Sekali pandang tajuk ruangan ini seakan-akan ingin memberikan komentar terhadap buku ini secara mendalam. Namun tiadalah saya ahli untuk mengadili atau mengkritik buku ini atau buku-buku yang akan datang melainkan sekadar perkongsian penulis terhadap buku tersebut secara peribadi berserta huraian ringkas terhadapnya. Orang kata umur baharu setahun jagung manakan sanggup untuk menkritik para penulis berserta karya mereka yang hebat itu.

Secara ringkasnya antologi Tasik Syahdu ini terdiri daripada beberapa buah cerpen karangan Pak Samad sepanjang perjalanan seni beliau. Tercatat pada naskhah buku itu bahawasanya Pak Samad sendiri yang memilih cerpen itu yang disusun bermula dengan cerpen-cerpen matang beliau. 

Pada setiap penghujung cerpen tersebut akan dicatat perihal percik ilham beliau tatkala menulis cerpen terbabit. Kesemuanya terhimpun sebanyak 22 gugusan cerpen karya Pak Samad yang dimulai dengan cerpen Tasik Syahdu dan diakhiri dengan cerpen Sasterawan Daiman Kereko.

Jikalau ingin mendapatkan huraian tentang nilai kesusasteraan cerpen-cerpen yang terkandung dalam koleksi ini rasanya di sini bukan medannya. Pada hemat saya cukup banyak komentar bagi setiap cerpen tersebut yang telah pun diolah oleh mereka yang pakar.    

Saya rasa cukup untuk dikongsi mengenai tema dan latar cerita cerpen Pak Samad yang kebanyakannya berkisar pada kehidupan pada zaman perang dalam tahun lebih kurang 40-an hingga 50-an. Hal ini dapat dilihat dengan jelas pada cerpen Tasik Syahdu yang mengisahkan tentang dosa dan dendam zaman penjajahan. 

Begitu juga pada cerpen Di Sisi Rinda yang membawa kisah ajaib atau luar biasa yang berlaku semasa darurat pada zaman perang. Di samping itu, Dosa Pejuang turut memotret kisah pengalaman lampau seorang pejuang pada zaman perang yang turut terselit rahsia dosa mereka. Ketiga-tiga cerpen ini boleh ditanggapi sebagai cerpen-cerpen matang dan terbaik karya Pak Samad. 

Pak Samad - Sumber: Laman Teachernuha

Walau bagaimanapun, cerpen-cerpen Pak Samad tidak hanya bersangkut paut dengan tema peperangan dan deritanya. Terdapat juga persoalan mengenai suka duka kehidupan rakyat marhaen yang banyak digambarkan tinggal di Singapura. Kebanyakan mereka itu hidup dalam kemiskinan. Lalu terperciklah ilham buat Pak Samad merakamkan kisah hidup itu dalam cerpen beliau. Antaranya kita dapat lihat cerpen ‘Ke Daerah yang Lebih Kerdil’, Longkang, dan Perempuan dari Kampung Kambing.

Selain itu, Pak Samad turut memperjuangkan nasib hidup para buruh atau pekerja bawahan yang menjadi inti perjuangan ASAS 50 pada masa itu. Rata-rata mereka semua berpendapatan amat rendah. Cukup untuk kita lihat buruh kasar pada hari ini yang berpendapatan rendah pada zaman ekonomi negara yang semakin baik ini. Apatah lagi pada zaman awal kemerdekaan, ekonomi negara masih belum kukuh lagi. 

Kadang-kadang pihak majikan mengambil kesempatan pula terhadap buruh-buruh ini. Persoalan yang seperti ini jelas dapat ditatap pada naskhah cerpen Di Tepi Jalan. Akhirnya, cerpen beliau ini menjadi cerpen awal beliau yang diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia.

Di samping itu, cerpen-cerpen Pak Samad turut memuat kisah petugas-petugas di Hospital. Tema sebegini tercetus daripada pengalaman beliau yang pernah bekerja di hospital pada satu masa dahulu. Sebagai contoh cerpen ‘Menanti’  dan ‘Pulang Malam’. 

Beliau juga mencoretkan kisah hidup perempuan yang kesempitan hidup pada zaman awal kemerdekaan dahulu yang disebabkan itu terdesak sehingga sanggup menjual diri dengan hidup menjadi pelacur dan pelayan di kelab-kelab malam. Hal sebegini jelas terpampang dalam cerpen beliau yang berjudul ‘Kakak’.

Secara tuntasnya buku koleksi cerpen Tasik Syahdu ini memuatkan gugusan cerpen yang begitu unik dan menarik dari sudut tema-tema yang diketengahkan juga teknik-teknik penyampaiannya itu. Secara tidak langsung keseluruhan cerpen dalam buku ini menggambarkan liku-liku perjalanan seni Pak Samad secara tidak langsung terutamanya dalam penulisan cerpen. Bak kata Pak Samad, beliau tidak perlu mengusahakan sebuah buku autobiografi tentang hidupnya kerana cukup hanya dengan cerpen-cerpen beliau itu menceritakan segala-galanya.

Akhir kalamnya, apa tunggu lagi ayuh pergi dapatkan buku ini terbitan PTS Sdn Bhd di gedung-gedung buku yang berdekatan. 



---T.T.---
4/11/12 @ 1.33 a.m.

Tarikh Darul Naim Siri 2 - Jom kenali Kelantan.

Sumber: www.muzium.kelantan.gov.my

Hari ini perkongsian Tarikh Darul Naim Siri 2 - Bersempena dengan Perayaan Ulang Tahun ke-100Majlis Agama Islam Kelantan, MAIK. Rasanya lebih baik kita teruskan siri Tarikh Darul Naim ini dengan meninjau sejarah bangunan pejabat MAIK. Jom kenali Kelantan.


Dahulunya sebelum berpindah ke pejabat sekarang iaitu di Kompleks Islam Darulnaim di Lundang, Kota Bharu, bangunan pejabat MAIK terletak di Jalan Sultan di tengah bandar lama Kota Bharu. Bangunan ini terletak berhampiran dengan Masjid Muhammadi dan di pinggiran Sungai Kelantan.

Pada asalnya bangunan ini merupakan rumah kediaman dua tingkat milik Dato' Menteri Kelantan (setaraf Menteri Besar), Che Hassan bin Mohd Salleh. Beliau adalah seorang pegawai tinggi Melayu semasa negeri Kelantan di bawah naungan Siam.

Bangunan ini siap di bina pada tahun 1902. Bangunan ini memiliki reka bentuk yang unik iaitu sebuah rumah kayu model Rumah Perabung Pecah Lima. Reka bentuk ini adalah satu reka bentuk rumah Melayu Kelantan-Patani yang popular pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Rumah kediaman beserta kawasannya ini telah dibeli oleh MAIK pada 31 Julai 1917 dengan harga $15,000.00 dengan wang kutipan zakat fitrah yang mula dikumpulkan pada bulan Januari 1916. Pada tanggal 9 Ogos tahun yang sama MAIK mula mendiami bangunan tersebut sebagai pejabatnya.

MAIK kekal berpejabat di sini selama 72 tahun sebelum berpindah ke Lundang pada 16 Februari 1990. Pejabatnya itu berada di tingkat atas bangunan ini.

Manakala di tingkat bawah bangunan ini digunakan sebagai tempat belajar bagi murid-murid Madrasah Muhammadiyah Melayu (lelaki). Sekolah ini ditubuhkan pada 5 Ogos 1917.

Pada bulan Februari 1932 tingkat bawah bangunan ini bertambah padat dengan wujudnya Madrasah Muhammadiyah Melayu (perempuan) pula. Akhirnya kedua-dua Madrasah ini berpindah ke bangunan barunya di Jalan Merbau, Kota Bharu pada tahun 1956.

Menurut rekod bangunan ini telah diubah suai sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1917, 1962, dan 1991. Pengubahsuaian terbesar yang pernah dilaksanakan ialah pada tahun 1991. Pengubahsuaian ini telah menelan belanja sebanyak RM218, 000.00. 

Secara kasarnya bangunan ini masih lagi mengekalkan reka bentuk luaran yang asal melainkan reka bentuk dalamannya yang telah pun berubah ciri-cirinya yang asal itu.

Sumber: The Kelantan Times

Sekian dahulu untuk kali ini.


-----T.T.-----




p/s:  Sebarang khilaf pada sesiapa yang menemukannya pohon dibetulkan.

Asalnya tulisan ini dijadikan status FB Tokdin Tuman. Selamat berkunjung ke Ekspo MAIK 2012 di laman Istana Negeri Kubang Kerian. 

Rujukan: Abdul Razak Mahmud, 2005. Ikhtisar Sejarah Kelantan.

Tarikh Darul Naim Siri 1- Jom kenali Kelantan.

Ihsan: Laman web Malaysia My Second Home



Mukadimah 

Assalamualaikum sebagai pembuka bicara. Pada kali ini setelah lama bersunyi sepi tidak menulis di laman blog ini, saya kembali dengan membuka satu siri penulisan ringkas mengenai sejarah negeri Kelantan. Sebelum bermulanya penerangan yang lebih lanjut adalah molek sekiranya diberikan dahulu mukadimah atau pembuka bicara bagi negeri Kelantan ini. Keterangannya ditulis seberapa ringkas dan padat adalah seperti berikut:

Ihsan: Laman DM Serunding
  1. Kelantan terdiri daripada 10 buah jajahan. Berlainan dengan negeri-negeri lain yang memakai panggilan    'daerah'. 
  2. Negeri Kelantan ini bergelar Darul Naim ertinya Negeri Penuh Nikmat. Tersebut dalam tarikh, gelaran ini dicadangkan oleh Mufti Kerajaan Negeri, Sahibus Samahah Haji Wan Muhammad bin Abdul Samad pada tahun 1916. Lalu diperkenankan oleh Baginda Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-IV.
  3. Terdapat pula keterangan yang mengatakan sebelum digelar Darul Naim, Kelantan ini digelar Darul Aman persis gelaran negeri Kedah sebagaimana kini.
  4. Di dalamnya terdapat 63 buah daerah (daerah di sini persis mukim di negeri lain). 
  5. Setiap jajahan itu pula diketuai oleh seorang Ketua Jajahan (Ketua/pegawai daerah). Dalam tiap-tiap jajahan mempunyai daerah-daerah. 
  6. Jajahan itu ialah Kota Bharu, Pasir Puteh, Pasir Mas, Bachok, Machang, Tumpat, Tanah Merah, Kuala Krai, Jeli, dan Gua Musang. Seluas-luas jajahan ialah Gua Musang dan sekecil-kecilnya ialah jajahan Tumpat.
  7. Setiap daerah (persis mukim) ini diketuai oleh Penggawa. Kalau di tempat lain dipanggil Penghulu. Dahulunya Penggawa ini dikenali dengan nama Tok Kweng.

 --------T.T.-------



p/s: Tulisan ini sebenarnya ditulis sebagai status FB Tokdin Tuman lalu dikutip dan disiar kembali di laman saya. Sebarang khilaf pada sesiapa yang menemukannya pohon dibetulkan.

Rujukan: Abdul Razak Mahmud, 2005. Ikhtisar Sejarah Kelantan.