Khamis, 15 September 2016

Kemarau Panjang Coret-mencoret & Media Sosial


            Sudah lama rasanya saya tidak mengetuk papan kekunci komputer riba ini. Rasanya sudah lebih setahun. Dahulu kemain kononnya ingin pastikan sentiasa menulis catatan tak kiralah rencanakah atau apa sahaja. Berupa pengalaman peribadi seharian seperti anekdot ataupun ulasan apa saja yang berlaku di sekeliling. Pendek kata, sekurang-kurangnya dalam seminggu satu tulisan harus dikarang kononnya. Namun sebagaimana biasa ragamnya kebanyakan orang ‘kita’ – hangat-hangat tahi ayam. Mungkin tak ramai orang kita yang seperti itu tetapi umumnya begitulah dalam sesetengah pekerjaan. Jangan tersinggung. Biar yang kena saja terasa bak kata orang tua, siapa makan cili dialah rasa pedasnya. Yang kalau tahan pijar cilinya itu tak mengapalah kalau mahu diteruskan sikap sebegitu. Selalunya mereka sebegini ditambah pula satu lagi kata orang tua-tua, bermuka tebal. Walau terkenaatas batang hidung sendiri, tetap saja tiada endah dan terasa. Cuma jangan sampai jadi seperti perasan bagus sudahlah.

            Mengapa saya tulis begitu? Sebabnya ada orang tidak sanggup untuk terus menulis walaupun mereka punyai bakat dan juga punyai minat tetapi ada sahaja kekangan yang datang menghalang. Lumrah orang sentiasa ada hal yang memerlukan masa yang kian suntuk. Sehari ditetapkan sunnatullah hanya ada dua puluh empat jam. Tak lebih tak kurang. Sedangkan permasalahan yang timbul begitu banyak. Ada yang ingin menulis tetapi terlalu sibuk dengan urusan kerja, rumah tangga, masyarakat, dan bermacam lagi. Jadi yang tinggal sibuk dan setia untuk menulis hanyalah yang benar-benar cekal untuk meluangkan masa suntuk mereka itu. Kecualian bagi mereka yang kerjayanya khusus untuk menulis sepenuh masa. Tak kiralah wartawan, sasterawan, penulis buku-buku yang beraneka macam, dan seumpamanya. Tuntasnya hanya yang benar-benar beriltizam tinggi dan berminat sahaja terus kekall menulis.

            Selain perkara yang disebutkan tadi, pada zaman sekarang ini ada semacam trend baru yang juga mengakibatkan semakin kurang mereka yang ingin menulis. Dengan timbulnya media sosial yang semakin melebar luas di negara kita, semakin ramai orang sudah jarang lagi mahu menulis di ruangan seperti buku, blog, atau apa sahaja catatan. Ramai yang lebih gemar melepas sebarang ilham, luahan perasaan, ulasan peristiwa atau isu-isu yang timbul terus melalui  media sosial seperti laman Facebook, Twitter, Instagram, Youtube dan lain-lain lagi. Jikalau dahulunya, mereka yang suka menulis itu menggunakan medium blog  – termasuk diri ini – untuk menulis mula beralih arah. Blognya dipinggirkan sama ada secara sengaja atau secara tidak sedar. Lalu asyik mencatit tulisan di FB, Twitter, dan seumpamanya.

            Dari satu sudut ada baiknya. Menulis di media sosial ini lebih mudah dan  juga dedahan lebih cepat meluas. Bagi mereka yang inginkan ramai membacanya atau pengikut mereka tentu lebih senang dengan FB, Twitter dan Insta sebagai contoh. Kalau dahulu di blog mungkin sedikit rumit. Perlu diedit itu dan ini. Tambahan pula untuk mendapat dedahan ramai pembaca pula agak sukar jikalau tidak kena cara dan pandai berblog. Oleh sebab itu, ramai yang lebih suka menulis sahaja di media sosial.

            Ada yang menulis dengan agak baik walaupun di FB  misalnya. Namun ramai yang apabila beralih kepada FB tulisannya pun sudah  tak sebagaimana di blog. Maklumlah di media sosial ini rata-ratanya tulisan selalunya perlu  ringkas dan padat. Kesudahannya, mereka yang berminat untuk menulis itu akhirnya hilang tempat untuk mengasah penulisan mereka. Di tambah usaha untuk menulis pun kurang akibat kurang cekal dan iltizam akhirnya minat ke mana penulisan pun entah ke mana. Bahkan tulisan sesetengah daripada mereka pun mungkin semakin teruk dek gaya penulisan ringkas. Tengok sahajalah sebagaimana dalam Twitter yang ruangnya memang terbatas. Iyalah Twitter itu sebenarnya mini blog. Hanya beberapa ratus aksara sahaja yang dibenarkan. Nyatalah, sesetengah medium media sosial itu bukan tempat untuk berlatih menulis yang terbaik.

            Walau bagaimanapun, dengan mengambil contoh Twitter itu, orang ramai di satu sudut menjadi lebih kreatif. Oleh sebab, ruangan yang terhad dalam Twitter, mereka secara paksa rela perlu benar-benar memikirkan apakah yang penting untuk ditaip. Secara tidak sedar sesetengah pengguna twitter ini boleh menjadi sedikit kreatif dan lebih teratur dalam isi penulisan luahan mereka itu. Mereka perlu pastikan apa yang penting kerana ruangnya terbatas. Secara peribadi telahan sebegini bolehlah diterima namun rasanya tidak semua sebegitu. Boleh saja merek ber’twit’ banyak kali secara rambang menaip apa-apa yang ingin diluahkan. Bahkan ada pula third party company yang menyediakan aplikasi tambahan yang memungkinkan tulisan yang lebih panjang bagi yang memerlukan sedemikian. Akhirnya, sama sahaja kesannya pada pengguna Twitter.


            Sebenarnya dalam  kepala ini banyak pula idea nak berleter di tulisan maya ini namun malas nak memanjangkan tulisan. Bukan ramai mereka yang nak baca tulisan panjang pun. Jadi lebih baik berhenti setakat ini. Yang ini pun lebih sekadara anekdot catatan peribadi. Nanti rasanya saya ingin sambung berleter bab media sosial yang kadang-kadang lebih cocok di baca So-Sial ini (maaf kasar sedikit) dek sebab-sebab tertentu. Ringkasnya salah pengguna itu sendiri. Nantilah kita bercerita panjang lagi. 

--T.T--
Dicoret pada 10 Sept. 2016 = 8 Zulhijah 1437 H

Jumaat, 14 Februari 2014

Akhirnya Suara Guru Didengar – PBS Dikaji Semula

Foto: Docstoc

Syukur kepada Tuhan. Pada hari ini saya dapat menulis lagi. Dalam akhbar semalam (pada masa artikel ini ditulis) terpampang kenyataan Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan kerajaan akan mengkaji semula pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) secara menyeluruh. Dalam kenyataan akhbar, beliau dipetik berkata kerajaan belum memutuskan sama ada PBS akan ditangguhkan dahulu atau diteruskan. Ia akan diputuskan dalam satu mesyuarat yang bakal diadakan dalam masa terdekat. Hal ini perlu dibuat rentetan terdapat pelbagai masalah dihadapi guru dalam melaksanakan PBS tersebut.

Pertama sekali, tahniah saya ucapkan kepada semua guru-guru terutamanya terhadap persatuan guru yang sebelum ini telah lama bersuara tentang masalah dalam pelaksanaan sistem PBS ini. Dahulunya komen dan aduan mereka seakan-akan tidak dilayan namun akhirnya ternyata suara mereka didengar juga. Dahulunya yakni pada tahun lepas semasa isu PBS ini mula hangat di sekolah-sekolah. Kakak saya yang juga seorang guru sekolah menengah ada menceritakan tentang masalah PBS ini. Katanya ramai guru sendiri yang tidak setuju dengan sistem ini. Ada banyak masalahnya dari segi kesan terhadap pelajar di samping masalah teknikal pelaksanaannya itu. Selain itu, ada cerita yang katanya PBS ini ditiru daripada Jepun (kalau tak silap sayalah) tetapi khabarnya Jepun sendiri sudah meninggalkan sistem ini dan memakai sistem lain. Entahlah itu maklumat betul atau tidak. Walau apa pun, saya katakan pada kakak saya kenapa tidak buat aduan/komen ke akhbar  saja. Semoga ada orang dengar komen ini. Lalu saya menawarkan diri nak tulis aduan ke akhbar dan kakak pun mengiyakan saja.

Proses Pentaksiran PBS
Foto: Ronn97

Walau bagaimanapun sampai ke hari ini saya tak tulis-tulis aduan itu. Bukan tak nak tulis cuma sebelum saya nak tulis itu saya mahu selidik dulu tentang konsep PBS ini. Lalu saya cuba cari maklumat tentang sistem PBS ini. Saya baca dan semak secara kasar dokumen berkaitan sistem PBS ini yang boleh diakses daripada pihak kementerian di samping mendapatkannya secara alam maya. Walaupun tak baca habis lagi, saya akui secara kasarnya PBS ini sistemnya agak kemas. Ringkasnya saya tak jadi nak tulis komen sebab secara teori PBS nampak okey. Kalau nak komen pun tentulah terhadap pelaksanaannya dan saya insaf yang saya ini sudah lama meninggalkan sekolah jadi tidak mendapat sebarang maklumat yang jelas tentang praktikalnya. Lainlah kalau saya ini masih lagi belajar di sekolah boleh juga nak membuat komen tentang PBS ini. Bukan apa saya tak nak komen secara membabi buta saja. Tak pasal-pasal timbul isu lain.

Sebenarnya saya bersyukur sebab sudah lama meninggalkan alam persekolahan. Kalau tidak dengan saya sekali akan terkesan dengan masalah ini. Secara teorinya, atas kertas PBS ini sistemnya nampak kemas, teratur, dan terbaik. Walau bagaimanapun, dari segi pelaksanaannya atau praktikal sebagaimana yang kita dapat saksikan ia banyak masalah yang perlu diperbaiki lagi. Secara peribadi saya berasa ada sesuatu yang tidak kena dengan PBS ini. Mungkin rasa ini timbul disebabkan melihat anak buah saya yang bersekolah rendah asyik pulang tanpa ada kerja rumah langsung. Jarang benar hendak lihat dia membuat latihan atau membuka buku di rumah. Sememangnya PBS ini tidak memberi murid kerja rumah kerana segala latihan harus dibuat di dalam kelas dan terus disemak oleh guru. Setelah itu penilaian perlu dibuat dengan pemberian ‘Band’ markah dari 1-6. Seperti pemarkahan ujian MUET begitulah pemarkahan sistem PBS. Itulah secara ringkasnya PBS ini. Kalau nak diceritakan secara lanjut dah jadi buku ceritalah jawabnya. Saya pun tidak mahir dengannya.

Sistem Band PBS
Foto: Aynorablogs

Selain itu, masalah besar PBS ini setakat makluman saya adalah sistem kemasukan data secara atas talian yang terlalu lembap dan bermasalah. Katanya komputer pelayan (server) bagi sistem kemasukan data PBS  ini terlalu kecil. Saiznya tidak berpadanan dengan jumlah pengguna daripada seluruh sekolah di negara ini. Bayangkanlah dengan jumlah pengguna sebanyak itu pastinya pelayan bersaiz biasa berserta sistem yang masih lagi belum sempurna akan berlakulah kesesakan atas talian yang amat teruk. Kata orang putihnya ‘jammed’.

Tambahan pula sistem PBS ini memerlukan banyak data bagi setiap orang murid dimuatnaikkan secara kerap. Boleh dikatakan setiap hari perlu dikemaskinikan. Katakanlah dalam satu kelas sudah ada paling kurang pun 25-35 orang murid bagi sekolah biasa. Itu baru saja untuk satu mata pelajaran. Dalam satu kelas sudah ada paling kurang pun empat lima mata pelajaran. Bayangkanlah berapa banyak data perlu dimuat naik oleh setiap guru. Dalam sekolah saja guru sudah terbeban dengan masalah teknikal yang merumitkan. Sekarang ini ditambah pula masalah ‘key-in’ data PBS. Lagi bertambah tertekanlah cikgu-cikgu sekolah kita nampaknya. Walaupun guru boleh pulang ke rumah dan muat naik di mana-mana serta bila-bila masa kerana sistem ini secara atas talian tetapi dengan server yang sebegitu teruk pastinya menyusahkan para guru.

Sebelum ini pun sudah banyak kerja yang tidak berkaitan tanggungjawab guru yang asas iaitu untuk mengajar seperti kerja-kerja perkeranian. Cikgu kena isi borang ini borang itu. Cikgu kena tulis surat ini surat itu. Nak kena buat laporan ini laporan itu. Semuanya cikgu. Akhirnya guru penat dengan kerja-kerja yang sepatutnya kerani sekolah yang buatkan. Sedangkan di sesetengah sekolah (biasanya semua sekolah pun sama rasanya) kerani-kerani bukanlah banyak sangat kerja pun. Sampaikan boleh duduk rileks minum-minum air sambil bersembang lagi. Maafkan saya, bukannya niat saya nak salahkan kerani semata-mata tetapi inilah hakikat pembahagian tugas yang membebankan para guru. Sesuatu perlu dilakukan oleh pihak berkaitan. 

Orang sangka kerja guru ini adalah satu kerja kakitangan awam kerajaan yang paling seronok dan senang sebab tak ada waktu pejabat iaitu dari 8.00-5.00 p.m dan adanya cuti sekolah yang panjang. Namun mereka ini tidak tahu betapa banyak kerja lain yang perlu dibuat di luar waktu sekolah. Bukan saja waktu petang bahkan sampai waktu malam termasuk waktu hujung minggu. Bukannya para guru ini ada bayaran kerja lebih masa seperti kerja lain. Kalau ada pun elaun-elaun tertentu sahaja. Itulah pengorbanan guru, terlalu membakar dirinya sampai dah nak hangus lilinnya. Hakikatnya mereka teraniaya dengan beban tugas yang agak melampau. Belum masuk lagi kerenah para pelajar yang berbagai-bagai jenis serta perangai para ibu bapa juga yang sekarang ini makin cerewet.

Semoga pihak kerajaan dan kementerian terutamanya mereka yang berjawatan tinggi di kementerian dan jabatan pelajaran itu teliti dan kaji dengan sedalam-dalamnya sistem PBS ini. Jangan lupa bertanyakan pendapat para guru yang jumlahnya ramai itu. Jangan hanya buat dasar tanpa berpijak di bumi nyata. Bukanlah sistem PBS ini tidak berpijak langsung di atas rumput di bawah cuma ada dua tiga perkara yang perlu dirujuk dan diselidik dulu daripada para guru. Mereka yang duduk tinggi di atas sana hendaklah toleh ke bawah tanya guru-guru ini. Merekalah yang ahli dan lebih berhadapan dengan sistem pembelajaran dan pengajaran serta para murid ini secara langsung. Merekalah yang selayaknya untuk memberi pendapat. Dengarlah rintihan guru bukan hanya para pegawai tinggi sahaja yang tak bersemuka dengan kerenah murid dan sekolah.
Sekian rintihan orang biasa yang bukan guru namun faham apa makna kerja guru hari ini.

---T.T---

________________________________

N/k: Dicatat pada malam Jumaat hari Khamis, 13/02/14.

Selasa, 11 Februari 2014

Musim Batuk


Sila klik ada artikel tentang batuk.
Foto:  Wonder Doctor
Syukur kepada Tuhan kerna pada malam ini menulis lagi aku. Pada saat ini aku sedang batuk. Huk…hukk...hukks...ahuk. Begitulah lebih kurang bunyinya. Barangkali di Kelantan ini sekarang musim tersebarnya kuman batuk. Maklumlah dengan keadaan cuaca yang tak menentu ini. Sejuk panas sejuk panas, badan pun tak boleh nak tahan. Usahkan badan manusia, komputer ke robot ke boleh ‘jammed’ kalau sekejap sejuk sekejap panas. Tengok karburetor kereta sajalah, waktu panas menggila tiba-tiba masukkan air sejuk dalam tangki air itu tentulah karburetor boleh jadi tak kena. Kalau badan kita ini lagilah mudah nak terkesan dengan perubahan cuaca yang ekstrem ini.

Foto: Buteyko Breathing
Sebelum ini kecoh satu negara bahkan satu Nusantara agaknya tiba-tiba cuaca jadi ala-ala Cameron Highland, Genting Highland, dan juga Kundasang, Sabah. Yakni sejuk. Di Indonesia kecoh katanya ada tempat sampai turun salji. Betul ke tidak itu tak tahulah. Dengar khabarnya khabar angin itu tipu-tipu saja. Entahlah kalau betul pun tak pelik sebab kalau suhu jatuh salji boleh terhasil terutamanya di kawasan tanah tinggi seperti di pergunungan. Biasanya di puncak gunung yang tinggi saja bersalji jadi sekarang ini kalau suhu lebih rendah di kawasan bawah sikit dari puncak gunung itu boleh saja bersalji.

Walau apa pun saya ada dengar seorang kawan yang sedang bekerja di Indonesia sana itu tapi tak ingat di mana pernah komen di FB tentang kisah salji ini. Ada kawan tanya betul ke di Indon ada salji. Dia selamba balas datanglah ke sini kalau nak tahu. Hahaha, barangkali betul atau tidak. Pedulikanlah yang dah sahih di Kuala Krai, Kelantan memang suhu jatuh sungguh. Tak ingat berapa suhunya tapi yang pasti antara tempat yang paling rendah suhunya.

Dah jauh saya menyimpang. Balik semula cerita batuk. Saya ini orang yang paling tak boleh tahan ubat batuk. Yakni ubat batuk kimia artifisial. Nak-nak yang satu jenis itu. Namanya Sedilix DM-Linctus itu. Baru sahaja pada Jumaat lepas ambil ubat itu semasa berjalan ke rumah kakak saya. Sekali saja ambil pada waktu tengah hari. Lepas itu kesan khayalnya tahan sampai waktu malam. Khayal itu satu hal, yang tak tahannya rasa letih satu badan. Nasib baik tak ada pula nak berjalan naik motor ke apa. Kalau tak jawabnya ke lautlah motor itu. Memang ubat itu berkesan sebab dosnya pun boleh tahan kuatnya. Azabnya kalau orang yang tak tahan jadilah macam saya. 

Satu info lagi kita kena hati-hati kalau ambil ubat batuk kimia buatan ini. Kebiasaannya ubat batuk mempunyai kandungan ephedrine atau pseudoephedrine. Bahayanya hanyalah pada masa ubat itu masih ada dalam badan, lepas itu kita kena buat ujian air kencing untuk dadah ada kebarangkalian boleh dapat keputusan positif untuk amphetamin yakni dadah. Senang cerita kiranya 'false positive'-lah ini. Jadi kena bagi tahulah tentang pengambilan ubat batuk seperti ini. Kalau tak naya kena kes dadah. Ubat batuk Sedilix ini pun ada kandungan pseudoephedrine. Ini bukan saya cakap tetapi kata doktor. Ada  terbaca tulisan seorang doktor di sebuah laman blog. Cubalah klik tengok untuk makluman di Cendekiadoc.

Ubat batuk Sedilix ada pseudoephedrine
Foto: Hellotrade

Beberapa hari kemudian semasa saya balik ke rumah. Ayah saya pun sama terkena batuk juga. Tengok dia di rumah tengah tidur tidur ayam. Keletihan nampaknya. Tanya-tanya, rupa-rupanya dia pun sama makan ubat batuk Sedilix itu juga patutlah jadi macam itu. Nampaknya saya serupa dengan ayah saya jenis yang tak tahan dengan ubat batuk. Bapak borek anak rintiklah katakan. Saya pada masa itu baru saja beli ubat batuk herba jenama Hurix. Sebelum ini saya dah pernah makan. Bagus ubat ini sebab makan tak ada kesan mengantuk. Ubatnya pun berkesan cuma satu saja masalahnya iaitu kena beli dua botollah. Sebab botolnya kecil lepas tu kena ambil 20 ml sekali makan untuk orang dewasalah. Botol pula 60 ml jawabnya tiga kali makan habislah. Ringkas cerita ubat ini mahallah tapi baik sebab tak ada kesan mengantuk dan letih badan. Kalau kita tak sanggup nak makan ubat batuk yang kuat kesan mengantuk dan kita pun nak bekerja maka lebih baik beli ubat batuk herba macam ini.

Ubat batu gamat Hurix
Foto: Dashyou

Inilah ubat batuk yang saya makan itu
Foto: Hurix

Saya suka Hurix sebab rasanya (rasa-sebab tak pasti hehehe)syarikat Hurix ini ada makmal yang buat ubat herba dengan teliti. Ada kajianlah senang cerita. Dos dia pun lebih tepat. Ubat herba ini bagus tapi kalau tak kena dos boleh jadi masalah juga. Banyak saja ubat herba biasa. Yang ini ada makmal kilang yang teratur lagi elok. Hurix ini kalau tak tahu juga ingatlah iklan dia yang terkenal dengan jenama ubat pati gamat untuk luka-luka dalaman macam lepas bersalin, orang yang baru lepas kena bedah dan seumpamanya itu. Masa awal-awal timbul ada iklan seorang doktor kalau tak silap pengasasnya. Kalau tidak pun barangkali doktor pengkaji gamat di Langkawi.

Ini pula jenis pil. Apa lagi belilah kalau batuk !!!
Foto: Hurix

Walau apa pun ubat yang kita makan. Ubat terbaik adalah minum air masak/putih banyak-banyak. Kalau makan ubat saja tapi air itu minum sikit saja tak menjadi juga. Yang lebih penting kita kena ingat Allah yang beri kesembuhan bukannya ubat ke atau air. Asbabnya saja ubat dan air, yang penyebab mutlaknya ialah Allah. Kena yakin itu In Sya Allah Tuhan beri kesembuhan sebab penyakit pun datang daripada-Nya. Berdoalah kepada-Nya. 

Allahumma azhibil ba’sa rabban naas. Isyfii anta syaafii. Laa syifaa’a illa syifaa-uka. Syifaa-alla yughaadiru saqama.

---T.T.---


___________________
N/k: Dicatat pada hari Selasa malam Rabu-12/02/14 = 12 Rabiul Akhir1435 H.



Khamis, 6 Februari 2014

ANEKDOT: 3297 & AKU


No. Giliran
Foto: Hairul.com
Rasanya pada kali ini saya nak coretkan sikit satu anekdot dalam hidup yang kita sebenarnya biasa lalui dan hadapi (agaknya orang lain pun pernah alami/tahu sesiapa yang pernah alami). Apakah signifikannya tajuk 3297 ini dan saya? Bagi yang tengah berfikir agaknya nombor itu ada kaitan dengan mana-mana tuah atau satu petanda apa-apa baik padam sajalah buah fikiran itu. Sah-sah karut-marut tidak boleh dipakai. Bahkan lagi jauh melencong telahan jika empat digit nombor itu ialah satu nombor ekor 4D. Tak ada maknanya saya nak beli nombor ekor. Judi itukan satu dosa besar. Daripada main nombor ekor lebih baik nombor dalam kira-kira matematik ada juga faedahnya. Walaupun saya dan
matematik ini bukanlah ngam mana pun. 

Cukup-cukuplah itu merapu ke laut. Sebenarnya saya cerita kisah biasa-biasa tentang pembaharuan kad pengenalan (IC) saya. Sudah lama saya bertangguh nak pergi tukar IC dengan ambil gambar baru. Seperti yang semua tahu rakyat Malaysia yang sudah masuk umur 12 tahun kena buat IC ini. IC yang saya pakai sekarang ini masih lagi IC yang sama yang saya buat masa umur 12 tahun dahulu. Kalau umur 12 tahun bermakna masa saya darjah enam la jawabnya. Sekarang ini pula dan nak masuk 24 tahun. Bayangkanlah berapa beza rupa gambar IC saya pada kad yang mula-mula saya buat itu dengan rupa sekarang. Dari dulu masa saya masih lagi comel (comel la sangat), jambu bak kata orang sekarang ini (sindrom perasan diri) dan ‘innocent’ atau ‘skema’ hinggalah sekarang muka dah matang siap berjanggut bermisai. Kononnya muka matanglah tu padahal muka Nampak lebih tua daripada usia. Pedulikanlah yang penting dah lama benar jarak masa kad IC itu.

Logo JPN (lama)
Logo Baru JPN
Foto: FACEBOOK JPN 

Nasib baik saya pergi tukar agak awal sikit yakni pada umur sekarang yang dah 24 tahun. Ikut cakap pegawai pendaftaran itu kalau saya datang masa umur 25 jawabnya kenalah bayar denda RM40 sebab lewat tukar. Tengok sipi-sipi lagi (nyaris-nyaris) nak kena denda. Kang tak pasal-pasal sedekah duit lebih pada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Okay, yang nombor 3297 itu sebenarnya nombor giliran di pejabat JPN itu. Masa ambil nombor giliran itu nombor yang tengah dipanggil baru setakat 3220. Kiralah sendiri berapa ramai lagi berderet tunggu giliran di depan saya. Nasib baiklah sistem sekarang ini dah agak canggih. Cepat saja nombor nak kena panggil. Ambil nombor pada pukul 10.44 lepas tu siap ambil gambar IC itu dalam pukul 12 tengah hari. Kira okaylah tu kalau nak dibandingkan daripada dahulu.

Sekarang ini kalau buat di pejabat utama JPN boleh siap segera. Boleh katakan ‘on-the-spot’ siap. Dengan syarat tiada pertukaran alamat atau masalah teknikal kad lama. Macam di KB ini lepas dah siap ambil gambar itu semua kena tunggu sejam lepas tu bolehlah nak ambil nombor giliran untuk ambil IC baru itu. Masalahnya saya punya IC itu ada masalah sikit jadi tak dapat siap awal. Alkisahnya gara-gara mesin pengimbas jari elektronik itu tak dapat kesan cap ibu jari tangan kiri saya. Cuba punya cuba cap itu dapat tapi tak sepadan pula dengan yang ada dalam IC lama. Siap disapu losen lagi kedua-dua jari itu tapi yang jari kiri tetap juga tak dapat. Bukan sekali rasanya dah tiga kali sapu pun tak dapat. Kesudahannya kenalah tunggu tiga minggu sebelum dapat ambil kad IC yang baru. Fikir-fikir, bagi sayalah bagus sungguh pegawai/kerani yang urus saya itu. Bukan main lagi dia berusaha nak tolong biar menjadi imbas jari itu. Orang kata memang dah kerja dia. Iya betul tapi layanan dia itu ada profesionalnya dan mesra pelanggan bukan semua orang bekerja macam itu.

 
Wisma Persekutuan Kota Bharu, Kelantan.
Foto: Building Lindungan 

Sebenarnya ada cerita belakang tabir dengan nombor 3297 ini. Sebab itu saya jadikan satu tajuk tulisan ini. Masa pergi buat IC hari itu saya pergi dengan ummi saya. Ummi saya bagi nombor 3296 manakala saya ambil yang terkemudianlah. ‘Gentleman’  laa katakan. Hihihi. Okaylah, dah dapat nombor itu tunggu sajalah dengan ‘steady’-nya. Sambil berdirilah dengan macam-macam gaya tersendiri kononnya nak macho (sekali lagi perasan). Maklumlah orang ramai pada hari Khamis itu sebab sekolah semua dah cuti sempena Tahun Baru Cina. Pejabat JPN di KB itu bangunannya dah lama yakni di Wisma Persekutuan. Oleh sebab itulah ruang pejabatnya pun agak sempit jikalau nak dibandingkan dengan jumlah pelanggan yang berurusan di sana. Jadinya ruang pejabat yang terbahagi dua bahagian itu – satunya khas untuk bahagian buat pasport dan visa serta daftar kelahiran/kematian dan satu laginya ruang khas untuk daftar IC / MyKid dan yang seangkatan dengannya – akhirnya bertukar menjadi tin sardin/tuna/ikan mackarel versi manusia.

Yang jadi isu dengan nombor 3297 saya itu ialah pada saat nombor saya dipanggil. Punyalah syukur penuh lega hati ini sebab dah dapat giliran. Terus saja kaki ini melangkah pantas ke kaunter bernombor 9. Tup-tup-tup tengok di kaunter itu masih ada seorang lagi pelanggan yang duduk berurusan di sana. Ingatkan dah nak dapat layanan rupanya masih ada lagi yang tak siap berurusan di kaunter. Dalam hati ingatkan pegawai itu saja panggil awal nombor saya supaya tak kalut agaknya. Lepas saja siap orang yang di depan saya itu. Perempuan orangnya. Saya pun pergilah. Mula-mula pegawai bertugas itu tanya saya awak nombor berapa. Saya pun beritahulah nombor 3297. Lepas itu dia minta tunjukkan kertas nombor giliran itu. Rupa-rupanya pelanggan sebelum saya tadi itu mengaku yang dia bernombor 3297. Adess, potong q la nampaknya kakak itu. Pegawai itu cakap patutlah dia rasa pelik pun tadi sebab lepas panggil ada dua orang datang.  Sangka baik sajalah dengan kakak itu agaknya dia hilang nombor giliran lepas itu tak ingat nombor sendiri atau tak biasa berurusan lagi. Tak pun memang dia ada kecemasan sampai kena pergi dulu. Patutnya saya pergi kaunter itu tunjuk saja terus kertas nombor giliran saya itu supaya pegawai itu tahu. Fikir-fikir balik masalahnya takut pula memang dia saja panggil nombor awal sikit supaya tak perlu tunggu lama-lama untuk orang datang ke kaunter.

Bersabarlah Tunggu Giliran Kita
Foto: Nightcactus.net

Sebut tentang orang potong giliran saya ini sebenarnya dah tak pelik sangat bagi saya. Bukan apa sebelum ini saya dah terkena dengan peristiwa yang sama di sebuah bank. Pada masa itu, lepas saja nombor saya dipanggil tengok-tengok di kaunter dah ada orang lain. Setelah orang itu siap, saya pun pergilah cakap macam biasa dengan pegawai/kerani bank itu. Malangnya dia siap tanya dengan nada macam nak marah-marah (taklah tinggi mana pun cuma reaksi dia agak sinis) nombor saya berapa. Saya pun beritahu dia nombor saya yang dipanggil tadi. Dengan nada tak percaya dia tanya saya mana kertas nombor giliran itu. Serius dia ingat saya menipulah ini. Hisssh tak pasal-pasal kena syak dengan orang. Masa itu naik darah pun adalah sikit tapi tak sampai kena ‘hypertension’lah. Nasib baik tak lebih-lebih cuma terkeluar ‘speaking’ English tanya dia “what!!! you don’t believe me??” (poyo kalau nak marah je mesti nak cakap Mageris- bukannya pandai pun kihkihkih). Soalan biasa saja cuma nadanya agak menyindir sikit. Lepas dah cakap itu rasa bersalah pun ada. Itulah orang kata terlajak perahu boleh diundur terlajak kata ini makannya. Hahaha.

Foto: Danielle, Joyful Steps
Sepatutnya dia janganlah tanya dengan nada macam nak marah-marah sangat pada pelanggan. Kurang profesionallah macam itu. Lagi pun bukannya saya yang potong giliran itu. Kang dah segan salah tuduh orang. Pegawai/kerani yang layan saya itu pun masih muda lagi entah-entah budak praktikal agaknya. Kita fahamlah masih belum berpengalaman. Saya doakan agar dia cepat belajar jadi pro. Walau bagaimanapun, nasib baiklah pegawai/kerani yang urus saya di JPN hari itu okay tak adalah nak tanya macam nak marah-marah. Itulah saja kisah yang saya nak kongsikan dengan nombor 3297 ini. Hanya kisah biasa daripada orang biasa-biasa buat diri sendiri sebenarnya.

Sebagai kesimpulannya daripada cerita panjang berjela ini, janganlah kita tak sabar-sabar dalam menunggu giliran. Bagi yang berurusan itu tak kira pegawai bertugas dan juga pelanggan janganlah emosional. Bersikap sopan dan profesionallah. Kalau tengah marah itu jangan dilayan sangat perasaan itu. Bersabarlah dan ingat orang yang tersayang (hahaha tiba-tiba slogan pandu selamat). Ingat kalau kita buat baik pada orang dan hormat orang nanti In sya Allah orang akan bagi layanan yang sama pada kita. Kalau tak pun sudah tentu dapat ganjaran daripada Allah. Lepas itu kalau ada orang berkasar dengan kita janganlah marah-marah balik padanya seperti yang saya terlepas cakap itu. Walaupun taklah bahasa kasar atau maki-maki cuma nada saya tanya itu agak sinis kalau didengar.  Lain kali saya kena jawab dengan sopan sajalah. Orang bagi tuba kita bagilah penawarnya. Balik-balik kalau orang itu ada maruah diri mesti dia terkesan dengan apa yang dia buat salah itu. Kalau dia tak faham lantak sajalah. Kita doakan biar dia sedar diri. Kita pun kenalah sedar diri dulu.
Sekian dulu celoteh biasa daripada orang biasa-biasa.
---T.T---

__________________ 
N/K: Siap dicatat: 1.47 a.m 01/02/14 bersamaan 1 Rabi’ul Akhir iaitu pada malam Sabtu di Kg. Palas Merah, Tumpat.


Ahad, 26 Januari 2014

Detik Mula Cinta Saya Untuk Menulis


Foto: Wikipedia.org
Alhamdulillah, pada kali ini saya mempunyai kesempatan untuk mencoret di laman blog ini buat sekalian kalinya. Jikalau sebelum ini tulisan saya yang sulung buat tahun 2014 ini merupakan satu rantaian puisi namun pada kali ini saya ingin membawa isu atau cerita yang lain pula. Saya ingin berkongsi cerita mengenai minat saya pada penulisan puisi dan juga tulisan yang berbentuk rencana dan yang seumpama dengannya. 

Bukanlah saya ini seorang yang mahir atau ahli dalam bidang penulisan ini. Cuma sekadar amatur dan masih lagi setahun jagung. Orang kata jikalau bayi, saya ini masih lagi belum mampu meniarap apatah lagi untuk mengesot dan seterusnya merangkak. Apa yang saya yakin dan pegang erat adalah setiap apa pun yang kita buat atau ingin capai mestilah dengan kesungguhan dan kesabaran. Dalam melangkah ke arah tujuan itu pula haruslah disulam erat dengan rasa sabar. Tidak terlupa juga apa yang penting iaitu jangan takut untuk membuat salah walaupun dalam berkarya.


Foto: Westfield State University
Jikalau ditanya bilakah saya mulai minat dengan dunia penulisan dan yang berkait dengannya ini, tidak dapatlah saya jelaskan dengan terang lagi bersuluh. Bukan apa saya pun belum jelas benar duduk perkara akan hal ini. Barangkali minat ini timbul semenjak kecil seawal sekolah rendah. Dahulunya kakak sulung saya rajin menghadiahkan buku-buku cerita kanak-kanak kepada saya. Inilah yang mungkin menjadi satu suntikan kepada saya untuk minat dengan dunia buku dan pembacaan.

Pada awalnya manalah ada lagi tercetus di benak hati untuk menulis dan berkarya. Cuma saya menjadi semakin minat dan akhirnya obses dengan buku-buku. Bermula dengan buku cerita hikayat dongeng Melayu dan juga cerita fabel Inggeris sehinggalah ke buku sirah Nabi dan cerita berunsurkan Islam. Seterusnya, saya mulai giat mengumpul duit saku sekolah sendiri untuk membeli buku-buku cerita yang diidam-idamkan di samping mem’bodek’ ayah saya untuk belikan buku untuk saya.

Saya berasa begitu bersyukur kerana semenjak saya mulai kenal dan cinta akan buku saya semakin terarah kepada buku-buku Islamik. Bukan semata-mata buku sirah dan cerita namun lebih kepada pengetahuan agama. Tidak kiralah buku berkaitan soal fardu ain mahupun yang lain-lain. Dengan itu saya mulai lebih celik sedikit mengenai soal dan isu agama. Namun tidaklah sedalam mana pun cuma lebih sedikit terbuka ufuk minda dalam bab agama.

Berbalik kepada soal saya mula berkarya. Pada awalnya, sememangnya saya belum lagi mula menulis apa-apa tulisan melainkan apa yang ada dalam pembelajaran saya di sekolah. Mungkin sekadar lebih gemar membaca dan menambahkan pengetahuan melalui pembacaan. Sejujurnya saya tidak kreatif dalam penulisan cerpen dan cerita-cerita naratif. Semenjak UPSR dahulu lagi jikalau ada karangan berkaitan bercerita saya tidak berapa gemar menulis cerita naratif sebegini. Cuma pada waktu sekolah rendah penulisan karangannya begitu ringkas jadi tidaklah hal ini menjadi satu masalah besar kepada saya.

Foto: Berita Sarah

Ketika saya mulai menjejakkan kaki ke bangku sekolah menengah baharulah saya terdedah dengan penulisan rencana dan yang lain-lain. Ketika inilah saya rasa sedar akan minat saya yang suka menulis karangan terutamanya yang berbentuk rencana, berita, dan seumpamanya kecuali yang berbentuk cerita atau naratif. Dalam kertas peperiksaan subjek bahasa Melayu, terdapat lebih kurang lima soalan karangan sebagai pilihan. Apa yang pasti saya tidak akan memilih soalan karangan yang berbentuk cerita atau sambung atau guna ayat cerita yang ada.

Entahlah mungkin saya ini tidak kreatif dalam penulisan cerpen dan novel seperti ini. Sehingga sekarang saya masih lagi mencuba menulis namun belum berjaya lagi menghabiskan penulisan itu. Sudah banyak idea yang terilham namun belum kesampaian. Beberapa cerpen saya mula tulis namun satu pun belum kesudahan. Usahkan menghasilkan cerpen yang berkualiti, satu cerpen pun belum terkarang lagi. Yang ada hanyalah draf yang terbengkalai.

Antara sebab saya belum lagi mampu menulis cerpen adalah sikap saya yang bertangguh untuk mencuba menulis satu cerpen. Mungkin sebab dahulu lagi suka mengelak menulis cerpen dalam karangan sekolah saya jadi malas untuk mengusahakannya. Barulah sekarang saya mula melangkah setapak ke depan dengan cubaan rambang menulis cerpen. Doakan agar saya mampu menyudahkan apa yang saya telah tulis itu. Sebenarnya saya tak mengharapkan cerpen sulung saya itu elok pun cukuplah sekadar boleh dianggap satu cerpen.
Tulislah kalau tak sampai bila tak jadi penulis.
Foto: Fulco's Den

Berlainan dengan penulisan genre berbentuk puisi, saya pada mulanya tidaklah berasa pandai atau berbakat untuk berpuisi. Namun disebabkan saya gemar bermain kata dan menyusun ungkapan yang menarik seperti kata-kata berbunga, saya mula sedikit demi sedikit bertatih menulisnya sehingga akhirnya bolehlah menulis puisi yang tak seberapa itu. Kiranya puisi saya lebih elok daripada cerpen sebab saya dah tulis beberapa rangkap puisi yang banyaknya berupa sajak di samping pantun yang biasa-biasa rupanya. Hakikatnya saya pun malu dengan puisi itu takut-takut belum empuk untuk dianggap sebagai satu puisi. Cukuplah dahulu cerita berkenaan  minat menulis saya untuk entri pada kali ini. Nanti saya sambung pada tulisan yang akan datang.
Wassalam.
T.T.

____________________

P/s: Dicoret pada Sabtu malam Ahad tanggal 25/01/14 @11.24 p.m. bersamaan 24 Rabiul Awwal 1435H.